Lim: Akta berita palsu bertujuan 'selamatkan' Najib
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mendakwa, Akta Antiberita Tak Benar yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat bertujuan untuk 'menyelamatkan' Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terpalit dengan skandal 1MDB.
Malah, kata Lim, perkara itu dibuktikan apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari memberitahu Parlimen minggu lalu bahawa mana-mana maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia dianggap sebagai berita palsu.
"Jelas menunjukkan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar adalah untuk menyelamatkan Najib daripada skandal 1MDB.
"Jailani telah kata bahawa definisi untuk berita palsu ialah 'berita yang disahkan palsu oleh pihak yang berkuasa dalam perkara tersebut'.
"Tidakkah ia bermakna bahawa semua media yang melaporkan berita yang didakwa sebagai 'palsu' tentang skandal 1MDB yang turut muncul di media antarabangsa akan didakwa di bawah Akta Antiberita Tidak Benar?" soal Lim.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini.
Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan untuk bacaan kali pertama, semalam.
Rang undang-undang berkenaan yang dicadangkan kerajaan itu memperuntukan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya bagi mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.
Bagaimanapun, rang undang-undang berkenaan menjadi pertikaian terutamanya daripada anggota parlimen pembangkang yang membangkitkan isu bagaimana sesebuah berita itu diklasifikasikan sebagai 'palsu' serta bagaimana ia akan dilaksanakan.
Menurut RUU itu, berita tidak benar bermaksud "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhan adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea".

