Terjemahan Mahkamah Majistret Sri Aman hari ini memerintahkan supaya dibebaskan tujuh penduduk Iban dari Kampung Bait, Pantu, Bahagian Sri Aman, Sarawak yang didakwa membakar lebih 100 batang balak minggu lalu.

Mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan selesai dijalankan. Mereka sudah lima hari ditahan reman.

Penduduk terbabit, termasuk tuai (ketua) rumah Rayang anak Ringkai, masih belum didakwa, walaupun ketua polis Sri Aman, Abdul Hamid Bulat sebelum ini membayangkan mereka akan didakwa sebaik sahaja siasatan selesai.

Mereka yang ditahan di penjara pusat Sri Aman sejak petang Sabtu lalu selepas ditahan di rumah masing-masing di Kampung Bait, dihadapkan di hadapan Majistret Maris Agan pada jam 9 pagi ini dan diperintah dibebaskan.

Peguam mereka, Dominique Ng yang sampai dari Kuching jam 9.25 pagi, tidak sempat hadir di mahkamah, walaupun beliau telah memaklumkan kepada pihak polis dan mahkamah, yang dia sedang dalam perjalanan.

Ng yang berang dengan apa yang berlaku, memberitahu malaysiakini, "jelas ada orang yang mahu beliau semua fakta di mahkamah."

Menurutnya, ketidakadilan telah berlaku terhadap penduduk asal berkenaan apabila mereka ditahan di penjara tanpa alasan yang sah untuk berbuat demikian.

Tiada hak masuk

Ng berkata, September lalu, Perbadanan Perhutanan menulis kepada Tasinimas Project Consultant Sdn Bhd, memaklumkan syarikat pembalakan itu, tidak mempunyai hak untuk masuk ke kawasan hutan komunal milik penduduk kampung berkenaan, kerana ia tidak terbabit dengan kawasan yang diberi lesen membalak.

Katanya, syarikat itu juga tidak mendapat kebenaran untuk membalak di kawasan tersebut.

Namun begitu, tambahnya, syarikat berkenaan berulangkali tidak menghiraukan surat tersebut dan telah menebang 118 batang balak dari kawasan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa sebagai hutan komunal, atas permintaan penduduk Iban pada tahun 1989.

Sebaik sahaja dibebaskan, ketujuh-tujuh penduduk Iban tersebut, dengan ditemani Ng, saudara mara dan sahabat handai mereka, telah membuat laporan polis terhadap syarikat berkenaan di balai polis Sri Aman kerana didakwa menceroboh dan mencuri kayu balak. Mereka mahu polis menyiasat segera aduan tersebut.

Menurut dokumen yang diperolehi malaysiakini, unit penguatkuasa Perbadanan Perhutanan telah merampas dari syarikat tersebut 198 batang balak awal tahun ini, tetapi selepas selesai siasatan dan atas arahan Peguam Kerajaan Negeri, balak tersebut diserahkan balik, dengan syarat syarikat berkenaan membayar royaltinya./ Berita asal