Terjemahan Seorang pemuda, dipercayai anak lelaki Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan pemuda itu ditahan kerana memungut wang dari para peniaga yang mendirikan gerai untuk berniaga sepanjang bulan Ramadhan ini.

Pemuda berusia 32 tahun ditahan di sebuah pusat beli-belah malam tadi selepas seorang peniaga membuat laporan kepada BPR.

Dipercayai seorang pegawai pengutakuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang berusia 25 tahun, turut ditahan bersamanya.

Menurut seorang pegawai mahkamah yang enggan disebut namanya, Majistret Nazran Mohd Shan telah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap pemuda tersebut.

Didakwa jual gerai

Sementara itu Bernama melaporkan, mereka disiasat di bawah Akta Pencegah Rasuah kerana dikatakan menjual satu daripada 10 lot gerai Ramadan yang mereka perolehi.

Manakala Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan yang dihubungi bagaimanapun mengatakan, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M.Kayveas yang ditemui di Parlimen berkata, beliau juga ada menerima banyak panggilan telefon mengenai perkara tersebut.

"Saya ada menerima banyak pertanyaan mengenai khabar angin ini," katanya.

Menurut beliau, jabatannya sedang cuba mengesahkan berita tersebut.

Kayveas, yang bertanggungjawab memantau perjalanan BPR bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chia Kwang Chye yang juga ditemui di Parlimen, berkata beliau juga tidak tahu menahu mengenai kes tersebut.

Manakala Ketua Pengarah BPR, Zulkifli Mat Noor pula tidak dapat dihubungi./ Berita asal