Persatuan Snuker dan Billiard Ktan bantah serbuan MPKB
Persatuan Snuker dan Billiard Kelantan membantah tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandaraya Islam menyerbu tempat ahli persatuan itu menjalani latihan di sebuah pasaraya di Kota Bharu, hari ini.
Persatuan Snuker dan Billiard Kelantan membantah tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandaraya Islam menyerbu tempat ahli persatuan itu menjalani latihan di sebuah pasaraya di Kota Bharu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, tiga kakitangan MPKB mengarahkan pihak pengurusan menutup pusat berkenaan.
Kakitangan MPKB itu juga mengancam untuk merampas meja dan peralatan di pusat berkenaan jika mereka tidak memberhentikan operasi, selain mengeluarkan saman kepada persatuan berkenaan.
Setiausaha persatuan berkenaan, Hu Pang Chaw berkata, MPKB tidak sepatutnya berbuat demikian kerana persatuan itu mempunyai sijil kelulusan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan untuk beroperasi pada September 2004.
"Mereka juga menghalau keluar sembilan ahli persatuan yang sedang berlatih untuk menyertai pertandingan di Kuala Lumpur tidak lama lagi," katanya.
Difahamkan, serbuan ini adalah kali kedua dilakukan MPKB di pusat itu. Kali pertama Jun lalu.
Dibenarkan Disember ini
Ketika diminta mengulas mengenai kejadian tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata, persatuan berkenaan tidak mendapat lesen dari MPKB.
Menurut laporan Bernama, sejak PAS memerintah Kelantan pada 1990, semua aktiviti snuker, biliard dan karaoke tidak dibenarkan atas alasan ia berbentuk perjudian dan maksiat.
"Selagi larangan itu tidak ditarik balik, kerajaan tetap akan mengambil tindakan tegas dalam hal ini," katanya.
Menurutnya, kebenaran untuk bermain snuker dan billiard di Kelantan yang pada masa ini diharamkan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1993, dijangka dikeluarkan menjelang Disember ini.
"Kita menjangka cadangan untuk meletakkan permainan snuker dan billiard dalam kategori sukan dan bukan hiburan, dapat diluluskan mesyuarat exco kerajaan negeri menjelang Disember ini.
"Sekiranya semuanya berjalan lancar, takrif snuker dan billiard akan dikeluarkan dari akta berkenaan dan pusat snuker boleh beroperasi di premis yang dikeluarkan lesen dan menepati syarat yang ditetapkan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.