Kerajaan tidak seharusnya dipersalahkan terhadap kegagalan masyarakat kaum India meningkatkan tahap penguasaan ekuiti mereka dalam negara, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini.

Katanya, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu tidak seharusnya menyalahkan kerajaan, kerana kegagalan itu bukan berpunca dari kerajaan, tetapi terletak di bahu masyarakat itu sendiri.

"Masalah masyarakat India adalah lebih dari sekadar soal ekuiti. Kebanyakan masalah kaum India berkisar tentang masalah sosial seperti gangsterisme," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen semalam.

"Saya akui bahawa kaum India adalah antara yang miskin dalam negara pada masa ini. Tapi pada masa yang sama, penyertaan dan pencapaian mereka dalam banyak bidang adalah mengkagumkan," tambahnya.

Shahrir berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Samy Vellu Selasa lalu, sekiranya kerajaan gagal membantu meningkatkan ekuiti kaum India, parti itu tidak akan meminta apa-apa bantuan lagi pada masa hadapan dan "kami (MIC) akan tutup kedai".

Sasaran tiga peratus

Samy Vellu yang merupakan Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan bertindak tidak mengendahkan gesaan untuk membantu masyarakat India mencapai sasaran tiga peratus ekuiti menjelang 2010.

Menurut laporan Bernama, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata masyarakat India sudah memperolehi pencapaian cemerlang sebagai professional.

"Mereka menikmati pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat India, contohnya Maika Holdings (badan pelaburan MIC)...tapi apa jadi pada semua itu?" katanya.

Shahrir berkata, MIC perlu memberi tumpuan kepada isu sebenar, daripada hanya bercakap tentang ekuiti.

Berhubung kenyataan Samy Vellu bahawa MIC akan tutup kedai jika kerajaan tidak membantu dalam meningkatkan ekuiti ekonomi kaum India, Shahrir bertanya: "Dia (Samy Vellu) tutup kedai atau MIC tutup kedai".