Mahadzir terus pangku jawatan MB Kedah
Datuk Mahdzir Khalid akan terus menyambung tugas sebagai Pemangku Menteri Besar Kedah selama tiga bulan lagi sehingga 16 Jan depan berikutan cuti Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dilanjutkan.
Datuk Mahdzir Khalid akan terus menyambung tugas sebagai Pemangku Menteri Besar Kedah selama tiga bulan lagi sehingga 16 Jan depan berikutan cuti Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dilanjutkan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Ahmad Abdullah hari ini berkata Mahdzir, 45, akan memangku jawatan itu bagi memberi masa kepada Syed Razak untuk pulih sepenuhnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah petang semalam, memutuskan bahawa cuti Syed Razak dilanjutkan selama tiga bulan lagi mulai 17 Oktober hingga 16 Januari tahun depan, katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di Alor Star.
Menurut laporan Bernama, Mahdzir tidak menghadiri sidang akhbar itu kerana difahamkan berada di Kuala Nerang bagi menghadiri satu majlis di Masjid Muadzam Shah.
Terus digazetkan
Ahmad berkata, tiada surat perwakilan kuasa akan diserahkan kepada Mahdzir sepertimana dilakukan pada 17 Julai lalu, sebaliknya ia terus akan digazetkan.
Ditanya berapa lama seseorang Menteri Besar itu boleh bercuti, Ahmad berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu.
Katanya, beliau turut tidak pasti keadaan kesihatan Syed Razak ketika ini.
Mahdzir menerima surat perwakilan kuasa sebagai Pemangku Menteri Besar selama tiga bulan pada 17 Julai lalu dan tempoh itu sepatutnya berakhir Ahad ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu itu yang turut memangku jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, dilantik bagi membolehkan Syed Razak bercuti untuk menjalani rawatan pemulihan akibat diserang strok.

