Dulu bantah, tapi semalam undi sokong pula
Meskipun kedua-dua pemimpin kanan MCA dan Gerakan sebelum ini lantang menolak cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi semua ahli parlimen kedua-dua parti komponen BN itu mengundi menyokongnya di Dewan Rakyat semalam.
Pemimpin MCA, Khoo Soo Seang (Tebrau) dan Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng (Simpang Rengam) adalah antara anggota parlimen yang membahaskan usul itu semalam dan kemudiannya mengundi menyokong cadangan itu.
Dewan Rakyat semalam meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas undian dijalankan. Usul itu disokong 129 anggota, manakala 80 lagi menolaknya.
Khoo mengadu bagaimana kawasannya berdepan kemasukan pengundi baru dan kini terpisah antara daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi. MCA tidak mempunyai wakil dalam Majlis Daerah Kota Tinggi.
“Akan tetapi ada sebahagian kecil dalam kawasan Parlimen Tebrau yang berada di daerah Kota Tinggi.
“Memandangkan kawasan yang terlibat ini sedikit, kami tidak ada ahli majlis yang menjaga kawasan berkenaan dan kami juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kota Tinggi.
“Maka ini menimbulkan masalah dan kesulitan tertentu semasa kami perlu bantu rakyat jelata kami di kawasan berkenaan.
“Saya berharap bahawa cadangan yang telah diutarakan ini dapat diberikan perhatian oleh SPR untuk penambahbaikan yang akan datang,” katanya.
Liang pula berkata cadangan SPR itu "wajar dan tepat" kerana ia sejajar dengan perubahan sosiopolitik.
“Saya ingin mengingatkan bahawa sejarah pilihan raya di Malaysia...telah membuktikan bahawa kajian....persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
“Kemenangan atau kekalahan sesebuah parti atau seseorang calon adalah ditentukan oleh para pengundi,” katanya.
Langkah itu berbeza sama sekali dengan kenyataan presiden kedua-dua parti itu pada 2016 yang berikrar menyatakan bantahan mereka.
Tiada bukti menunjukkan bantahan mereka mempunyai sebarang kesan terhadap hasil amalan itu kerana sempadan baru telah mengurangkan jumlah kerusi campuran. [Baca lanjut dalam KiniGuide]
Berikut antara kenyataan pemimpin parti-parti itu sebelum ini:
Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai
"Kami mendapati persempadanan semula yang dicadangkan SPR memberikan kesan buruk kerana pemilih dipisahkan berdasarkan kaum... Dari 40 kerusi MCA, 26 kerusi berdepan perubahan yang meliputi antara 1,000 hingga 10,000 pemilih... (Jawatankuasa pusat MCA) oleh itu merakan angka ini besar dan memberikan kesan buruk kepada negara.
Sebanyak 26 dari 40 kerusi parlimen terjejas dengan langkah SPR, Petaling Jaya Utara misalnya, akan menyaksikan peningkatan pemilih dari 80,000 kepada 150,000 orang. Sementara 50 peratus pemilih Melayu di Lumur akan meningkat 71 peratus. Selain itu, semua negeri akan turut terjejas dan ini akan mengganggu persediaan calon-calon utnuk pilihan raya umum akan datang." - MCA Online
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong
"Malah kita (Gerakan) juga tidak gembira dengan amalan persempadanan semula SPR. Kita akan nyatakan bantahan kita di beberapa tempat, mengikut prosedur." - New Straits Times
"Di Beruas, Perak, contohnya, Gerakan bekerja keras untuk merampas kawasan itu dari DAP tetapi persempadanan semula telah memberikan kelebihan pada DAP." - Bernama
"Kita akan bersaing di 45 kerusi parlimen dan negeri dalam pilihan raya umum ke-14, bagaimanapun, parti tidak sedang dengan persempadanan semula oleh SPR.
"Saya telah mengarahkan semua bahagian mengumpulkan laporan berkaitan persempadanan semula sebelum menyerahkannya kepada SPR dalam tempoh seminggu." - The Star

