MCA dan Gerakan telah mencadangkan beberapa formula bagi pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik untuk darjah empat hingga enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

Formula itu, dengan beberapa kelainan, memerlukan lebih banyak waktu untuk bahasa Inggeris bagi memperbaiki kecekapan murid dalam bahasa itu, tetapi dalam masa yang sama, waktu belajar untuk Matematik dan Sains dalam Mandarin ditambah, manakala waktu belajar untuk kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris dikurangkan.

"Kami mempunyai beberapa formula dalam fikiran. Ia hanya memerlukan konsensus di kalangan pihak yang terlibat," satu sumber parti memberitahu Bernama.

Dasar untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dilaksanakan di sekolah-sekolah termasuk SRJK Cina bagi darjah satu, dua dan tiga atau tahap satu sekolah rendah, mulai 1 Januari 2003.

Pelaksanaan di sekolah Cina adalah berdasarkan formula "2-4-3" dua waktu bagi bahasa Inggeris, empat waktu bagi Matematik dan tiga bagi Sains dalam seminggu.

Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada keputusan mengenai jumlah waktu belajar bagi kedua-dua matapelajaran itu apabila murid berkenaan masuk ke darjah empat tahun depan.

Dong Jioa Zong

Dong Jiao Zong (DJZ), pergerakan pendidikan Cina dalam dialog mereka dengan kedua-dua parti itu minggu lalu, telah menggesa kerajaan supaya kembali ke dasar lama menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran Sains dan Matematik di semua sekolah rendah.

DJZ berkata, kerajaan patut menambah waktu belajar bahasa Inggeris tetapi membenarkan sekolah rendah masing-masing, termasuk sekolah kebangsaan menggunakan bahasa ibunda mereka untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran itu.

Bagaimanapun, MCA dan Gerakan dilaporkan mahu murid-murid darjah empat hingga enam diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi dengan waktu belajar yang kurang berbanding kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam Mandarin.

Kedua-dua parti dilaporkan sedang menimbangkan idea untuk mengadakan empat hingga lima waktu belajar bahasa Inggeris dan satu atau dua waktu belajar Sains dan Matemarik diajar dalam bahasa Inggeris.

Buat masa ini, darjah empat mempunyai sejumlah 48 waktu belajar dalam seminggu dengan tiga waktu diperuntukkan bagi bahasa Inggeris, lima bagi Sains dan tujuh bagi Matematik (yang diajar dalam Mandarin).

"Kami sedang mengkaji kemungkinan mengadakan formula 4-2-2. Yang lain ialah 4-1-2 dan 5-1-1," menurut sumber itu.

Formula 4-2-2

Formula 4-2-2 ialah bagi empat waktu diperuntukkan untuk bahasa Inggeris, dua bagi Matematik dan dua bagi Sains (diajar dalam bahasa Inggeris) dalam seminggu, formula 4-1-2 ialah empat waktu bagi bahasa Inggeris, satu bagi Matametik dan dua bagi Sains sementara formula 5-1-2 merujuk kepada lima waktu untuk bahasa Ingeris, satu untuk Matametik dan dua untuk Sains.

Adalah difahamkan MCA dan Gerakan telah menubuhkan jawatankuasa masing-masing yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Chan Kong Choy (MCA) dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Gerakan) bagi menangani perkara ini.

Menurut satu sumber MCA, kedua-dua parti belum membuat apa-apa keputusan lagi mengenai formula mana yang patut diterima pakai walaupun telah beberapa perbincanagn diadakan di kalangan mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan, termasuk Kementerian Pelajaran.

"Kami telah mengadakan beberapa perbincangan tertutup mengenai perkara ini di dalam parti. Kami juga telah membincangkannya dengan Gerakan tetapi hingga kini tiada keputusan dibuat," kata sumber itu.

Seorang pemimpin Gerakan ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa kedua-dua parti beserta beberapa pergerakan akademik telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu, tetapi tidak menyatakan sama ada mereka telah bersetuju terhadap mana-mana formula yang dicadangkan.

"Kami menjangkakan perkara ini boleh diselesaikan dalam dua bulan ini. Masa semakin singkat. Kami masih mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan parti komponen Barisan Nasional yang lain, tetapi tiada apa yang diputuskan lagi.

"Kami masih membuka perbincangan...kerana kami harus memikirkan dasar kerajaan juga dan prinsip pendidikan," katanya.

Kedua-dua parti dijangka akan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya dalam badan pembuat keputusan parti masing-masing Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan (CWC) dan Jawatankuasa Pusat MCA (CC).

Mesyuarat bagi CWC Gerakan ditetapkan pada 22 Oktober sementara MCA belum lagi menetapkan mesyuarat CC mereka.