Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau berpura-pura tidak nampak Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang dihalau dari Dewan Rakyat tetapi berdegil enggan keluar semalam.

“Buat-buat tak nampak macam kamu tidak nampak YB berkenaan. Dia tak boleh ambil bahagian, dia tak boleh bercakap apa-apa pun.

“Saya kata saya tak nampak Gelang Patah sebab kalau saya nampak Gelang Patah saya terpaksa suruh Gelang Patah keluar lagi,” kata Pandikar.

Beliau menjawab soalan Che Mohd Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang cuba membangkitkan Peraturan Tetap terhadap Lim kerana ingkar arahan speaker.

Pandikar kemudian mengeluh kalau selama ini semua arahannya tidak diendahkan, apalah gunakan hendak membangkitkan Peraturan tetap kepada Lim.

G Manivannan (PKR-Kapar) and Teo Kok Seong (DAP-Rasah) kemudian bangkit mempertahankan Lim.

Che Jusoh kemudian berkata Pandikar hanya pura-pura tidak nampak Lim di kerusinya.

Lim juga bangun bertanya berkaitan penggantungannya tetapi tidak diendahkan oleh Pandikar.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang bangun untuk membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 pula menimbulkan satu lagi kekecohan dengan memanggil Lim sebagai “hantu”.

“Sebab dia hantulah dia tak faham bahasa.

“Kalau dia manusia dia faham bahasa,” kata Noh yang mengundang bantahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam).