Anak Zahid tekal nak masuk politik
PRU14 | Hasrat anak perempuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terlibat secara langsung dalam politik dan menyertai pilihan raya tidak pernah padam walaupun timbalan perdana menteri itu agak keberatan.
Bagaimanapun kata Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid buat masa ini dia belum berhajat merealisasikan keinginannya itu walaupun pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan diadakan pada bila-bila masa saja sekarang.
Ditemui media di Kuala Lumpur hari ini Nurul Hidayah berkata tugasnya sebagai Penaung Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya (Pakar Berjaya) selain menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu sudah cukup membuatkan dirinya sibuk mengalahkan seorang wakil rakyat.
"Insya-Allah ada hasrat (bertanding) tapi itu pun lima tahun akan datang, sebab saya rasa saya perlukan lebih banyak pengalaman berhadapan dengan masyarakat yang sekarang semakin bijak.
"Kalau saya jadi pemimpin yang tidak bersedia untuk berdepan dengan masyarakat, tak boleh nak menerima apa yang ada di keliling, lebih baik tak payahlah jadi pemimpin," katanya.
Nurul Hidayah, 39, sebelum itu menghadiri program 1 Keluarga 1 iUsahawan (1K1iU) di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Mac 2014 Nurul Hidayah pernah menyatakan keinginannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang bagi mencabar PKR yang asalnya mahu menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nurul Hidayah adalah anggota Umno Bagan Datuk yang diketuai bapanya, namun kini menetap di Country Heights, Kajang.
Bagaimanapun hasrat Nurul Hidayah ditolak Ahmad Zahid yang tidak mahu anaknya melibatkan diri dalam pilihan raya berkenaan.
Alasan Ahmad Zahid, kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang itu adalah kuota MCA dan ia perlu dihormati.
Untuk rekod Ahmad Zahid adalah salah seorang penyokong kuat Anwar semasa pemimpin umum PKR itu masih berada dalam Umno.
Baca Zaman sekolah, saya curi-curi kerja, kata anak Zahid
Ketika krisis dalaman parti itu tercetus yang kemudian diikuti dengan pemecatan Anwar, Ahmad Zahid ialah ketua pemuda pertubuhan berkenaan.
Beliau adalah antara tokoh kanan Umno yang membangkitkan isu KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme) dalam persidangan tahunan parti terbabit.
PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada 27 Januari bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.
Bagaimanapun akhirnya kerusi itu ditandingi - dan dimenang - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Nurul Hidayah untuk menjadi wakil rakyat dia juga perlu membuat persediaan dari segi kesihatan mental dan fizikal kerana dia tidak berhasrat menyertai politik atas dasar suka-suka saja.
"Tak tahulah, (jiwa politik) ada dalam darah saya, cuma saya menyerahkannya segalanya kepada Allah SWT.
"Selama 40 tahun hidup ini semua saya serah bulat-bulat kepada Allah dan percaya bulat-bulat perancangan Allah SWT," katanya.

