Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan menangguhkan forum yang dirancang mereka bakal menemukan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beberapa tokoh, termasuk pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Menurut pertubuhan PERTAHAN, mereka memohon maaf kerana program berkenaan terpaksa diubah tarikh walaupun pada awalnya ia dijadualkan berlangsung di Pengkalan Chepa malam ini.

Timbalan pengarah forum Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi itu, Abdul Shakur Syarrie berkata, PERTAHAN menangguhkan forum itu kerana Dr Mahathir mempunyai program lain.

"Kita tunda sehingga Dr Mahathir memberikan tarikh baru pada April ini juga.

"Tun, sila bagi mana-mana tarikh pada April 2018," katanya kepada Malaysiakini.

Forum tersebut dirancang rentetan insiden digelarkan sebagai 'terkucil' semasa forum Wacana Sinar Harian di Shah Alam pada 23 Mac lalu.

Forum bertajuk Adakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM itu menampilkan tiga panel iaitu Kamarul Zaman sendiri, pakar psikologi Prof Datuk Dr Mat Saat Baki serta dan pakar kesihatan fizikal Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Ia menarik perhatian kerana Dr Mahathir muncul sejurus selepas Kamarul Zaman memberikan dalil-dalilnya untuk menegaskan Dr Mahathir, 92, tidak layak menjadi perdana menteri sekali lagi.

Forum malam ini dirancang diadakan di Dewan Purnama, Pengkalan Chepa. Selain Kamarul Zaman yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) UUM, turut ditampilkan ialah Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

Sebelum ini Abdul Shakur menghantar surat jemputan kepada Dr Mahathir dan difahamkan perdana menteri keempat itu sudah mempunyai program lain.

Awalnya program itu dirancang untuk tetap berjalan walaupun tanpa kehadiran Dr Mahathir kerana penganjur berharap Pakatan Harapan (HARAPAN) menghantar wakil bagi menyahut cabaran tersebut.


Baca Pemuda BERSATU Kelantan pula anjur forum


Namun, disaat akhir Malaysiakini difahamkan penganjur menarik balik penganjuran tersebut.

Semalam Malaysiakini melaporkan Dr Mahathir enggan menghadiri forum di Kelantan itu kerana menganggap panel yang dijemput tidak layak serta tidak tahu cara berdebat.

Sebaliknya, Dr Mahathir mengajak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berdebat dengan beliau.

“Oleh kerana dia nak jemput saya, saya nak jemput Hadi dengan Najib. Saya ketua parti, dia pun ketua parti juga. Jadi Hadi dengan Najib patutlah datang. Janganlah buat macam forum Nothing To Hide, lari.

“Kalau dia nak datang, saya jemput dia datang, saya boleh bagi makan pun. Tapi buatlah dengan orang yang ni, kalau nak (debat tapi) cari konco-konco yang tak layak, tak tahu nak debat, tak payahlah,” katanya.

Lihat Komen
ADS