Laporan khas Industri kawalan keselamatan tempatan selama ini diselubungi imej pudar. Banyak kelemahan dan kepincangan dikatakan berlaku dalam syarikat-syarikat pengendalinya.

Mutu perkhidmatan para pengawalnya pula didakwa tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

Mengapa terjadi senario seperti itu? Apakah sebabnya? Antara puncanya adalah kerana banyak syarikat kawalan keselamatan dikuasai oleh orang yang bukan pakar dalam industri berkenaan.Keadaan ini menyebabkan berlaku penyelewengan, seperti lewat pembayaran gaji dan kebajikan pekerja terabai.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mensyaratkan pemilik permit syarikat kawalan keselamatan mestilah bekas anggota pasukan keselamatan, tetapi ia turut dimiliki oleh ahli politik dan syarikat perniagaan.

Jual lesen

Penolong Pengarah Urusan Syarikat Allied Secutity Sdn Bhd di Kuala Lumpur, Mejar (B) Jamaluddin Abdul Ghani mendakwa ada pemilik permit menjual lesen mereka kepada pihak ketiga untuk mendapatkan keuntungan 'atas angin'.

Katanya, apabila pihak ketiga yang tiada pengalaman menguruskan perniagaan syarikat kawalan keselamatan, maka akan berlaku pelbagai masalah, seperti kelewatan pembayaran gaji dan tidak membuat caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

"Ini berlaku kerana mereka hanya mementingkan keuntungan dan secara tidak langsung, mengabaikan kebajikan pekerja pengawal keselamatan terbabit," katanya.

Beliau berkata, perkara ini berlaku kerana penguatkuasaan yang lemah oleh KKDN. Kurangnya pemantauan menyebabkan pengusaha syarikat kawalan keselamatan tidak takut beroperasi meskipun tahu ia salah dari segi undang-undang.

"Ini menyebabkan orang tidak takut melakukan penipuan, termasuk memberi maklumat yang salah kepada pihak berkuasa," katanya.

Saingan sengit

Jamaluddin berkata, pada masa ini ada 386 syarikat kawalan keselamatan yang sedang beroperasi di seluruh negara. Baginya, jumlah ini terlalu banyak dan menjadikan operasinya tidak berkesan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya syarikat-syarikat kawalan keselamatan bergabung bagi mewujudkan operasi yang lebih berkesan demi kebaikan industri tersebut..

"Mungkin kita boleh bergabung bagi membentuk 10 syarikat kawalan keselamatan induk supaya kerajaan dapat mengawal industri tersebut dengan lebih berkesan," syor beliau.

Beliau berkata, kegagalan pihak berkuasa mengawal industri tersebut menyebabkan kerajaan rugi besar kerana mereka tidak membayar cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus.

"Industri kawalan keselamatan bernilai kira-kira RM2.4 bilion setahun dan cukai berkenaan tidak pernah dikutip. Bayangkan berapa banyak hasil yang terlepas," katanya.

Jamaluddin berkata, industri kawalan keselamatan sangat penting kerana ia menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara, selepas sektor perindustrian dan perkhidmatan, tetapi malangnya ia seperti tidak dipedulikan.

Untuk itu, katanya, pelbagai pihak termasuk kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada industri tersebut supaya ia benar-benar memberi keuntungan kepada negara dan rakyat.