Pemuda PAS dakwa ada pihak akan untung dari penyenaraian THP
Dewan Pemuda PAS mendakwa ada pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan segera daripada penyeneraian Tabung Haji Plantations (THP) di Bursa Malaysia.
Dewan Pemuda PAS mendakwa ada pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan segera daripada penyeneraian Tabung Haji Plantations (THP) di Bursa Malaysia.
Ketuanya, Salahuddin Ayub mendakwa, pihaknya dimaklumkan ada pihak tertentu mahu penyenaraian itu diteruskan bagi membolehkan mereka mendapat keuntungan cepat.
Berikutan itu, ahli Parlimen Kubang Krian itu menggesa Tabung Haji supaya mengkaji semula keputusan tersebut kerana lembaga berkenaan memiliki modal yang cukup untuk menjalankan aktivitinya.
Sebaliknya, kata beliau, penyenaraian di Bursa Malaysia itu berisiko tinggi dan dibimbangi THP akan berdepan pelbagai masalah.
"THP perlu mengambil iktibar dari kegagalan Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) yang kerugian setelah beberapa tahun disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya ketika dihubungai hari ini.
Keyakinan pendeposit
Salahuddin mahu THP mencontohi langkah Felda Platantions Berhad yang membatalkan cadangan penyenaraiannya di Bursa Malaysia setelah ditegur oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau khuatiri jika penyenaraian THP diteruskan, ia boleh menjejaskan keyakinan para pendeposit terhadap Tabung Haji.
"Tabung Haji merupakan kebanggaan dan kekuatan ekonomi umat Islam Malaysia selama ini," ujarnya
Semalam, Salahuddin menghantar memorandum bantahan daripada Pemuda PAS berhubung perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam. Antara lain memorandam itu mendesak dibatalkan cadangan pengpungkan THP.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz menerimanya bagi pihak Abdullah. Majlis berlangsung di Bangunan Parlimen dan Nazri berjanji akan menyerahkan memorandum itu kepada Abdullah.
Sekolah agama rakyat
Salahuddin juga mengulas mengenai pemberian semula bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat (SAR) oleh kerajaan persekutuan.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya memberi semula bantuan tersebut kepada semua SAR, termasuk yang tidak berdaftar dengan kerajaan.
Katanya, SAR yang tidak berdaftar itu, termasuklah yang diuruskan oleh guru-guru agama di kampung.
Salahuddin berkata, jika kerajaan boleh memberikan bantuan kewangan dan membina sekolah baru kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, maka tidak ada sebab bantuan serupa tidak boleh diberi kepada SAR.
Katanya, ini kerana tidak ada bukti yang menunjukkan SAR terbabit dengan pengajaran songsang atau ada kaitan dengan pengganas.
Semalam kerajaan mengumumkan pemberian bantuan semula kepada 87 SAR di Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

