Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: RM61.5 juta untuk bekal air pada Orang Asli di Pahang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM61.5 juta untuk pelaksanaan fasa 1 Projek Bekalan Air Perkampungan Masyarakat Orang Asli di Pahang.

Beliau berkata peruntukan itu melibatkan 14 perkampungan masyarakat berkenaan di lima daerah di negeri ini, melibatkan kos baik pulih dan penyambungan bekalan air, subsidi bil air dan bantuan kewangan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata empat buah kampung di daerah ini juga bakal menerima manfaat projek itu iaitu Kampung Simpai, Kampung Api Larat, Kampung Tasek Mentiga dan Kampung Selingkong.

"Saya juga mahu umumkan bahawa pada 1 Mei ini setiap rumah di Kampung Simpai dapat menikmati bekalan air bersih kerana saya diberitahu, Felda Water Sdn Bhd akan siap proses pembinaannya," katanya semasa berucap semasa lawatan kerja dan majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat orang Asli Pekan di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpai di Pekan hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad, anggota Dewan Negara Senator Datuk Isa Ab Hamid, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) Johari Alwi dan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk seri Ir Azman Mohd.

Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM9 juta untuk membina jalan masuk ke Kampung Simpai yang buat masa ini merupakan laluan tanah merah melalui ladang kelapa sawit.

Beliau juga mengumumkan bahawa TNB akan membaik pulih 100 buah rumah Orang Asli di Pekan, yang merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Pihak syarikat Feilo Sylvania juga akan memberikan bantuan berjumlah RM100,000 bagi tujuan pemasangan 3,000 unit lampu LED di 15 buah sekolah di Pekan khususnya di perkampungan Orang Asli.

SK Simpai adalah sebuah daripada sekolah yang terpilih untuk pemasangan lampu berkenaan yang saya diberitahu akan menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak 50 peratus.

"Saya juga ingin meluluskan sebuah ambulans untuk Klinik Kesihatan Runchang. Saya ingin beritahu bahawa Orang Asli mempunyai tempat yang khusus di hati saya," katanya.

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan sumbangan kepada 12 pelajar Orang Asli cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2017.

Turut menerima penghargaan termasuk 13 pelajar SK Simpai yang menunjukkan pencapaian baik dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). -Bernama

Lihat Komen
ADS