Konglomerat, Sime Darby Bhd tidak mempunyai rancangan untuk membeli 32 peratus pegangan dalam Proton Holdings Bhd daripada Khazanah Nasional, yang memiliki 42.7 peratus pegangan dalam syarikat kereta nasional itu.

"Kami tidak mempunyai rancangan buat masa ini," kata pengarah bahagian motor kumpulan Sime Darby, J.K.Yip kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Hyundai-Sime Darby Bhd di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan berita bahawa Sime Darby Bhd berminat untuk membeli pegangan Proton bagi mengukuhkan lagi perniagaan autonya yang kini sudahpun semakin mantap.

Dilaporkan bahawa Sime Darby telah muncul dengan satu penyelesaian yang dipercayai akan membawa situasi menang-menang kepada semua pihak.

Memetik sumber-sumber, laporan itu menyebut bahawa Sime Darby akan membayar bagi pegangan itu sama ada secara tunai atau menerusi terbitan saham baru.

Pengedar Hyundai

Terdahulu semasa ditanya sama ada Hyundai-Sime Darby Bhd, anak syarikat Sime Darby berminat untuk membeli pegangan dalam Proton, Yip berkata, bagi Hyundai-Sime Darby, "kami tidak berada dalam kedudukan yang sama."

Menurut laporan Bernama, Hyundai-Sime Darby merupakan pemasang dan pengedar tempatan kenderan Hyundai di Malaysia.

Seorang penganalisis auto berkata Hyundai Motor Co boleh memainkan peranan dalam pembelian itu kerana pengeluar kereta Korea Selatan itu memang merancang untuk menubuhkan hub di Asean.

Beliau berkata, Dasar Automotif Negara (NAP) dijangka merangsang industri setempat, dengan demikian Hyundai Motor boleh mendapat manfaat dalam banyak cara menerusi pegangan strategik dalam Proton.

Bagaimanapun, beliau berkata kita perlu maklum Hyundai juga turut menimbang Thailand sebagai satu daripada kemungkinan hubnya.