Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menggesa penyokong dan sahabat rakyat Palestin di Malaysia dan seluruh dunia supaya memainkan peranan intrinsik untuk mencari jalan supaya pelarian Palestin dapat dihantar pulang ke tanah air mereka.

Dalam satu kenyataan semalam, PCOM menggesa supaya lebih banyak usaha untuk mengakhiri tragedi di Semenanjung Gaza dilakukan termasuk menyokong Perarakan Pulang Besar-besaran yang masih berjalan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah dilakukan Israel terhadap warga Palestin. PCOM bimbang dengan keselamatan warga Palestin yang disasarkan secara intensif oleh tentera Israel semalam, terutamanya di Gaza yang mengalami sekatan selama 11 tahun,” katanya.

Kelmarin, berpuluh-puluh ribu warga Palestin menyertai Perarakan Pulang Besar-besaran itu yang berlangsung di Semenanjung Gaza dan tempat lain di Palestin bagi menunjukkan keazaman dan hak mereka untuk kembali ke kampung halaman yang mereka tinggalkan selepas dihalau keluar oleh tentera Israel pada tahun 1948.

Bantahan secara aman oleh rakyat Palestin yang tidak bersenjata itu mendapat tentangan ganas daripada pasukan keselamatan Israel yang menggunakan peluru hidup, gas pemedih mata, peluru bersalut getah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 warga Palestin dan 1,400 cedera termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, penganjur Perarakan Pulang Besar-besaran itu mahu membawa beratus ribu pelarian Palestin dari khemah pelarian mereka di seluruh rantau itu menyertai satu tunjuk perasaan besar-besaran di sempadan Israel, dengan rancangan seterusnya berarak ke kampung halaman mereka. -Bernama