Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: 17 hari manifesto, HARAPAN pun 'U-turn'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pembangkang mengaku parti itu tidak dapat mengotakan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya mereka.

Najib berkata demikian selepas akhbar Sunday Times Singapura memetik kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata ada janji tidak dapat ditunaikan gabungan itu kerana kekekangan kewangan.

"Ada orang lain yang mengemukakan rancangan yang akan menyebabkan kelompongan dalam kewangan kita.

"Mereka buat semua janji palsu, tetapi selepas 17 hari melancarkan manifesto, mereka mengaku tidak dapat memenuhi hampir kebanyakannya," kata Najib dalam ucapannya pada majlis pelancaran Mikro Kredit E-Dagang di Seri Kembangan hari ini.

Najib berkata, kerajaan BN telah merancang pelbagai program transformasi ekonomi dan akan terus melaksanakannya di negara ini pada masa akan datang.

HARAPAN melancarkan manifesto pilihan rayanya pada 8 Mac lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Khamis lepas, Mahathir dilaporkan berkata beberapa janji yang terkandung dalam manifesto itu tidak akan dapat dipenuhi.

"Kadang-kala, saya rasa kami mungkin tidak dapat memenuhi janji-janji kami.

"Parti kami, rakan gabungan kami, kamu tahu mereka sangat sosialis. Mereka suka memberikan benda kepada orang lain.

"Saya beritahu mereka ia tidak boleh dilakukan. Kamu mahu buang semua tol? Saya kata, lihat, kita perlu selenggara jalan raya. Kamu perlu bina lebih banyak jalan.

"Di mana kamu mendapat wang jika kamu cuba selenggara jalan ini sendiri? Tapi mereka mahu populariti, jadi mereka lebih suka menjanjikan perkara ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS