Usikan bekas editor: 'Saya makan semua coklat dalam helikopter'
Petikan kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini mungkin boleh diletakkan sebaris dengan tokoh-tokoh ternama dunia yang pernah ada.
Sekurang-kurangnya itulah yang cuba disampaikan bekas editor kanan Kumpulan News Straits Times, Mustapha Kamil walaupun ia kedengaran agak melucukan dan sinis.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Mustapha memuat naik petikan Najib bersama senarai petikan kata-kata bekas pemimpin dunia, termasuk Winston Churchill, Genghis Khan, Margaret Thatcher, Ho Chi Minh, Napolen Bonaparte dan Mahatma Gahdhi.
Senarai petikan itu bermula dengan ayat bekas presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy yang berbunyi "Jadi, saudara-saudaraku orang Amerika, jangan tanya apa yang negara boleh lakukan untuk kamu tapi tanya apa yang kamu boleh lakukan untuk negara."
Ia diikuti ungkapan bekas perdana menteri Britain, Winston Churchill yang terkenal - 'Kalau kau melalui neraka, teruskan berjalan,'.
Senarai itu diakhiri dengan kata-kata Najib- "Saya naik helikopter dan makan semua coklat dalam helikopter".
Petikan itu merujuk kepada ucapan perdana menteri baru-baru ini semasa majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera, Jumaat lepas.
"Saya nak nyatakan satu peristiwa tahun sudah di Kem Penrissen apabila panglima angkatan tentera dan Menteri Pertahanan berasa kesal sebab tak bagi (tidak menyediakan) makan tengahari.
"Lepas itu saya terpaksa naik helikopter (untuk ke tempat lain) dan di situ saya habiskan semua coklat yang ada dalam helikopter itu," kata Najib.
Najib kemudian secara bergurau mengatakan hidangan pada majlis malam itu adalah lebih daripada mencukupi.
Mustapha, selepas meninggalkan NST pada April 2016, dilihat sering mengkritik pentadbiran perdana menteri.
Dalam surat terbuka yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada 31 Mei, bekas editor itu berkata beliau meletakkan jawatan selepas Wall Street Journal membongkar skandal 1MDB pada tahun 2015.
Musptaha juga mendakwa Najib menjadi punca dirinya menamatkan kerjaya dalam bidang kewartawanan.
"Dan membuat liputan mengenai Najib, saya terpaksa banyak berbohong dan saya tidak suka berbuat demikian. Jadi saya berhenti," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.