Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berkongsi kunci kebahagian rumah tangga.

Menurut Rosmah, dia akan memastikan suaminya gembora agar dapat menjalankan tugas dengan baik untuk rakyat Malaysia.

"Macam saya, saya buatkan suami saya gembira, (apabila) beliau gembira maka beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik demi anda semua dan untuk Malaysia,” katanya seperti dipetik Bernama.

Rosmah berkata demikian ketika merasmikan Hari Wanita Kebangsaan Gerak Sakti 1Malaysia yang dihadiri kira-kira 3,000 kaum wanita India, Shah Alam.

Sebagai isteri perdana menteri, Rosmah berkata dia menerima kritikan dan tuduhan terhadapnya dengan hati terbuka kerana menurutnya itu semua lumrah dalam dunia politik.

"Dalam politik, kita terpaksa harunginya dan senyum... itu merupakan ‘ubat’ yang terbaik untuk mereka. Bila kita senyum dia sakit hati, bila kita marah dia suka hati. (Justeru) Cara terbaik untuk tangani semua ini ialah dengan senyuman,” katanya.

Dalam program itu, Rosmah menyampaikan anugerah kepada tiga wanita yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Rosmah turut menekankan bahawa BN tidak pernah meminggirkan wanita daripada mana-mana kaum dalam usaha mengarusperdanakan golongan hawa.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Gerak Sakti 1Malaysia, Datuk R.S.Thanenthiran dan isteri Datin Seri Vaney Thanenthiran yang juga Pengerusi Gerakan Wanita pertubuhan itu.