Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah: Beza suami saya dengan Najib macam langit dan bumi
Diterbitkan:  Apr 2, 2018 1:05 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya mencemarkan keturunan bangsa Bugis, kata bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau mendedahkan bahawa suaminya yang juga adalah bekas Pengerusi Maybank, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad juga adalah keturunan Bugis.

“Arwah suami saya keturunan Bugis tetapi bezanya dengan Najib macam pemanggang dengan api.... macam langit dengan bumi... macam putih dengan hitam,.

“Begitu juga kawan-kawan saya keturunan Bugis. (Mereka) berintegriti, bertanggungjawab dan beramanah.

“Keturunan tidak ada kaitan. Ia semua ciri-ciri peribadi,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Najib, semasa berucap di Majlis Himpunan Raksasa Guru-guru Silat 2018, di Gombak, memberi amaran supaya tidak menimbulkan kemarahan pahlawan Bugis.

Najib, yang berketurunan Bugis, berkata mereka yang mahu “mencarik-carik maruah orang Bugis akan menerima balasannya nanti."

Sementara itu, Rafidah juga membidas tindakan sesetengah pihak yang menjadikan “keturunan’ sebagai modal politik.

"Tidak harus ada sesiapun pun menggunakan 'keturunan' dalam apa jua keadaan. Akhir-akhir ini, kita lihat ini dilakukan di kalangan beberapa pihak dalam politik. Ia memecah belah, dan anti-perpaduan.

"Kita semua rakyat Malaysia. Sudah tentu, kita bangga dengan keturunan dan warisan kita. Tetapi sebagai rakyat Malaysia, kita harus bangga dengan persamaan kita sebagai rakyat Malaysia.

"Saya tidak boleh memadamkan warisan saya sebagai Melayu, sebagai Rawa dari Sumatera. Tetapi akar saya bukan sekadar 'Melayu'. Tidak ada perkara seperti warganegara Melayu," katanya.

Sebagai warganegara Malaysia, kata bekas menteri itu, beliau berkongsi aspirasi, harapan dan hala tuju semua rakyat Malaysia.

"Tidak kira di mana nenek moyang mereka atau mereka sendiri berasal, kita mesti menjalin identiti dan nilai Malaysia, terutamanya integriti, tanggungjawab dan menerima kepelbagaian kita," katanya.

Rafidah menegaskan Malaysia tidak mempunyai tempat untuk mereka yang berpemikiran sempit.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS