Bendahari Dewan Ulamak PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali menyifatkan dakwaan parti itu menerima duit Umno sebagai fitnah besar.

Wakil rakyat PAS Kuala Nerus itu menjadikan kontroversi sekitar dirinya kira-kira setahun dahulu sebagai contoh.

“Itu adalah fitnah yang sangat besar menyatakan PAS terima duit daripada Umno.

“Contohnya sabitkan saya beli kereta guna duit Umno.

“Saya bukan hanya dapat gaji daripada parlimen semata-mata, saya adalah ahli perniagaan, mempunyai kewangan saya sendiri.

“Ini tuduhan sangat jahat dan merosakkan maruah. Itu tuduhan salah,” katanya yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS itu.

Khairuddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan terbaru bahawa PAS menerima wang daripada Umno, yang sedang tular, dibangkitkan oleh rakan sejawatnya Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS- Rantau Panjang).

Khairuddin tahun lalu diserang hebat di Internet selepas isterinya didakwa memuat naik gambar kereta mewah Audi Q7 yang dihadiahkannya.

"Kita dapat hadiah kereta dari En Somi"," tulis isterinya.

Kenderaan baru jenis itu bernilai kira-kira setengah juta ringgit.

Beliau mempertahankan tindakan itu atas alasan itu haknya, berkemampuan dan menggunakan sumber-sumber kewangan yang sah.

Khairuddin dan isterinya juga dilaporkan terlibat dalam perniagaan produk kecantikan.