Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KeTTHA nafi pusat enggan serahkan LRAL2 kepada Air S'gor

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan Persekutuan enggan menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

KeTTHA dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Kabinet pada 28 Feb lepas telah memutuskan serahan separa LRAL2 oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada Air Selangor hanya akan dibuat setelah kerajaan Selangor memuktamadkan skim penstrukturan bekalan air di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan melihat penstrukturan bekalan air merupakan jalan terbaik bagi membolehkan PAAB membangunkan aset-aset air bagi menangani isu rizab margin air terawat yang rendah di Selangor iaitu antara kosong hingga tiga peratus.

“Adalah juga adil untuk PAAB, sebagai pemilik LRAL2, mengutip balik pelaburan berjumlah RM3.7 bilion bagi pembinaan loji ini melalui sewa pajakan yang akan dibayar oleh Air Selangor,” kata kementerian itu.

Menurut laporan media, Azmin dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 28 Mac lalu dilaporkan mendakwa kerajaan Persekutuan menghalang Selangor membekal air terawat kepada pengguna.

Laporan itu menyebut Azmin sebagai berkata kerajaan Persekutuan membuat keputusan pada 20 Mac lalu untuk tidak membenarkan air terawat LRAL2 dibekalkan oleh Air Selangor kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

KeTTHA berkata kerajaan Selangor juga perlu komited untuk membayar balik pinjaman PAAB berjumlah RM1.6 bilion bagi pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd dan RM6 bilion Water Bond Selangor.

“Kerajaan Selangor perlu segera bertindak untuk memuktamadkan penstrukturan semula bekalan air agar rakyat Selangor dapat menikmati air bersih berjumlah 565 juta liter sehari (JLH) yang dibekalkan oleh LRAL2, sekali gus meningatkan rizab margin air terawat di Selangor,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, KeTTHA berkata bekalan air di Selangor dapat diuruskan dengan lebih efisien melalui kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta membolehkan Air Selangor, sebagai pemegang lesen perkhidmatan, menumpukan perhatian kepada kecekapan operasi, kewangan dan peningkatan kualiti perkhidmatan kepada pengguna. -Bernama

Lihat Komen
ADS