Saman Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke atas Sabah Publishing House dan seorang editornya berhubung laporan membabitkan kontroversi telur penyu akan terus dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ini selepas panel tiga anggota Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan daripada penerbit akhbar itu, Daily Express, dan editornya, James Sarda, untuk mengketepikan kes berkenaan, berdasarkan alasan bidang kuasa. Mahkamah turut memerintahkan menteri tersebut untuk meminda pernyataan tuntutannya.

Hakim Datuk Rohana Yusuf, yang mengetuai panel hari ini berkata, perintah menolak saman itu adalah sesuatu yang sangat serius.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, kami secara berhati-hati menolak rayuan itu.

"Selanjutnya, kami mengarahkan responden (Ismail) untuk membuat pindaan yang diperlukan ke atas permohonan (penyataan tuntutan) berhubung tindakan di semenanjung Malaysia melalui laman web," kata Hakim Rohana.

Beliau mengarahkan pindaan pernyataan tuntutan dibuat dalam masa dua minggu.

Datuk Vernon Ong dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil adalah dua hakim lain yang bersidang Rohana.

Pengurusan kes itu ditetapkan pada 7 Mei di hadapan Datuk Nordin Hassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sabah Publishing House diwakili oleh peguam Bhag Singh manakala Ragunath Kesavan mewakili Ismail.

Ismail memfailkan saman itu pada Mac tahun lalu berhubung tiga artikel oleh Daily Express yang diterbitkan antara 24 Januari dan 9 September 2015. Laporan berkenaan mendakwa bahawa telur penyu dihidangkan kepada beliau pada satu majlis Umno di Sabah pada tahun 2015.

Adalah dilaporkan pada 9 Oktober lalu bahawa Sabah Publishing House, yang menerbitkan Daily Express, gagal untuk membatalkan saman Ismail.

Syarikat itu memohon untuk membatalkan saman itu atas alasan bahawa Ismail sepatutnya memfailkan tuntutannya di Sabah dan bukan di Semenanjung Malaysia - di sama ada di Mahkamah Malaya atau di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Syarikat penerbitan itu juga gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Sabah bulan lalu.

[Baca berita penuh]