Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan negeri sudah menjual tiga pulau kepada China.

"Saya mahukan bukti kononnya kami (kerajaan negeri) jual tiga pulau kepada orang China. Saya cabar beliau menamakan pulau terbabit. Langkawi ada kira-kira 99 pulau dan tiada satu pun yang dijual kepada China.

"Dr Mahathir perlu buktikan, jangan sewenang-wenangnya membuat tuduhan kepada BN dan Umno. Sepanjang saya menjadi menteri besar, tiada satu pun pulau di negeri ini dijual kepada China,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini.

Sebaliknya, menurut Ahmad Bashah, kerajaan negeri memberikan pajakan kepada mana-mana syarikat termasuk dari luar negara yang mahu membangunkan sesebuah kawasan dengan jumlah pelaburan bernilai tinggi seperti di Kulim Hi-Tech dan Pulau Langkawi.

Justeru, katanya, dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bertujuan memfitnah pentadbiran Barisan Nasional (BN) Kedah.

Beliau mengulas dakwaan Dr Mahathir yang mendakwa kerajaan Kedah menjual tiga pulau kepada China semasa sebuah ceramah Pakatan Harapan di Yan, dekat Alor Setar, Jumaat lalu.