Paling Popular
Terkini

PARLIMEN |  Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mahkamah akan menentukan identiti 'Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai terlibat dengan penyelwengan dana 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion.

"Hanya mahkamah boleh jawab siapa MO1 selepas undang-undang ini diluluskan," beliau memberitahu Dewan Rakyat.

Azalina membalas soalan anggota parlimen Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) semasa ucapan penggulungan beliau dalam perbahasan Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar 2018.

Ramkarpal bertanyakan jika pengakuan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang dibuat dalam wawancara BBC bahawa MO1 ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'berita palsu'.

"Jika tidak, saya akan berkempen (dalam pilihan raya umum) bahawa MO1 ialah Najib," katanya.

Menjawab soalan itu, Azalina berulang-kali menjelaskan keputusan sama ada sesuatu kandungan itu dianggap 'berita palsu' atau tidak bergantung kepada mahkamah.

Beliau menolak pandangan kemungkinan kerajaan boleh secara sewenang-wenangnya menentukan apa yang dianggap sebagai 'berita palsu' atau bukan.

Azalina turut enggan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan isu 1MDB dan dakwaan wang berbilion ringgit di dalam akaun bank peribadi Najib, memetik keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar telah melarang kebanyakan perkara berkaitan 1MDB, menyebut sub judis kepada kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Najib mendakwa AS$691 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya itu merupakan derma daripada ahli kerluarga diraja Arab Saudi.

DOJ pula mendakwa wang dengan jumlah yang sama itu berasal daripada 1MDB yang kemudiannya masuk ke dalam akaun bank peribadi 'MO1'.

Najib telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk kepentingan peribadi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS