Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak memetik sebuah laporan akhbar South China Morning Post (SCMP) bertarikh 30 Mac 2018 lalu sebagai contoh berita palsu.

Artikel yang dimaksudkan beliau berjudul "Why are foreign leaders snubbing Najib ahead of Malaysia’s election?” (Kenapa pemimpin luar negara menghina Najib menjelang pilihan raya umum Malaysia?)

Salleh memetik akhbar itu yang mendakwa kepimpinan Malaysia di mata antara bangsa sedang merudum di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka mendakwa bahawa kedatangan orang kenamaan (VIP) ke Malaysia telah berkurangan ... .Kecuali Najib boleh menampilkan nama besar VIP di Malaysia, dan tidak lama lagi, beliau akan terbuka kepada kritikan bahawa kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa telah jatuh di bawah kepimpinannya. 

"Ini adalah contoh utama berita palsu. Dan ia bukan satu perkara untuk mendapatkan pandangan - ia adalah fakta, yang saya akan tunjukkan," kata beliau menolak laporan SCMP yang menyebut Najib tidak berupaya membawa nama besar pemimpin dunia datang melawat Malaysia.

Salleh berkata kerajaan menolak lawatan negara asing ke Malaysia kerana terdapat amalan biasa pemimpin asing tidak membuat lawatan rasmi disebabkan kebimbangan untuk dilihat campur tangan dalam proses demokrasi sesuatu negara itu.

Salleh turut menyenaraikan beberapa pemimpin asing yang disambut Najib ketika melawat Malaysia tahun lalu.

"Raja Saudi Arabia, Presiden Perancis, Putera Maharaja Jepun, Raja Bahrain, Perdana Menteri Laos, Setiausa Negara Amerika Syarikat, Kaunselor Republik Rakyat China Wang Yong, Emir Qatar, Putera Wales dan Duchess Cornwall, Presiden Indonesia, Perdana Menteri Maghribi, Presiden Comoros dan Gabenor Jeneral New Zealand.

"Ini tidak termasuk pemimpin-pemimpin dunia yang disambut oleh Perdana Menteri secara rasmi pada tahun lalu. Termasuklah, Presiden dan Perdana Menteri Republik Rakyat China, Presiden AS, Perdana Menteri Great Britain, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Australia, Presiden Libya, Perdana Menteri Bangladesh, Perdana Menteri New Zealand, Perdana Menteri Papua New Guinea, Presiden Korea Selatan, Perdana Menteri Jepun, Presiden Vietnam dan Sultan Brunei.

"Ini hanya sebahagian daripada senarai, dan tidak termasuk ramai lagi pemimpin dunia yang Perdana Menteri bertemu pada sidang kemuncak," kata Salleh dalam suatu kenyataan media hari ini mengulas Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar.

Salleh juga mendakwa artikel SCMP mengandungi kesilapan yang dapat digolongkan sebagai berita tidak benar.

"SCMP mungkin tidak sedar bahawa Perdana Menteri mempunyai tugas untuk dilakukan, selain mengadakan pertemuan dengan pemimpin asing.

"Tetapi sudah tentu mereka sedar ini. Mereka sebaliknya hanya ingin menyiarkan berita palsu," kata beliau lagi.