Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya mereka yang menetap di Pantai Timur berpeluang untuk menyertai Program Nelayan Laut Dalam di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tidak lama lagi.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata program itu dilihat amat baik kerana dijangka mampu memberi pulangan lumayan kepada bekas anggota tentera yang menyertainya.
Beliau berkata Program Nelayan Laut Dalam ini berada di bawah NBOS yang merupakan satu bentuk kerjasama antara ATM dengan Jabatan Perikanan serta Jabatan Pertanian.
“Bagi ATM pula, semua veteran tentera sama ada darat, laut mahupun udara boleh menyertainya jika mereka berminat dan untuk kumpulan peserta pertama mereka akan memulakan latihan pada 23 April ini.
Kita merangka program ini kerana dilihat bersesuaian dengan kegiatan ekonomi negeri-negeri di pantai timur yang lebih cenderung kepada sektor perikanan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Veteran ATM peringkat Daerah Kuantan di Kuantan, Pahang hari ini.

Pada majlis itu, Raja Mohamed Affandi meluangkan waktu beramah mesra dan bertanya khabar dengan kira-kira 150 veteran ATM yang hadir.
Secara keseluruhan terdapat lebih 16,000 veteran ATM yang menetap di Pahang selepas menamatkan perkhidmatan.
Raja Mohamed Affandi berkata selain itu Program Nelayan Laut Dalam juga dijangka berupaya memberi impak yang berkesan dalam usaha menurunkan harga ikan di pasaran jika dijalankan dengan betul.
"Kita menyedari harga ikan dalam negara menjadi mahal kerana kurangnya hasil tangkapan laut yang didaratkan oleh nelayan tempatan.
"Saya percaya apabila veteran ATM kita menjadi nelayan laut dalam dan dapat membekalkan ikan dalam kuantiti yang banyak, harganya yang tinggi dalam pasaran dapat diturunkan," katanya.
-Bernama
