Laporan: Permohonan kedua untuk hentikan rampasan Equanimity
Permohonan kedua yang difailkan oleh pihak yang menuntut kapal layar mewah, Equanimity akan didengar di Jakarta pada 9 April, menurut satu laporan.
Portal dalam talian Indonesia Merdeka.com memetik pegawai pengadilan Jakarta Selatan Ahmad Guntur sebagai berkata pendengaran pra-perbicaraan, yang dijadualkan didengar semalam, ditangguhkan ke Isnin depan.
"Sepatutnya sidang didengar tanggal 2 April, tetapi permohonan itu ditarik balik.
"Pemohon kemudian memfailkan permohonan kedua, yang akan didengar pada 9 April," katanya.
Menurut laporan itu, Guntur berkata peguam bagi pihak yang menuntut telah memasukkan lebih banyak dokumen untuk mencabar Unit Jenayah Ekonomi dan Khas, yang berada di bawah Jabatan Penyelidikan Jenayah Polis Pusat Indonesia.
Dimaklumkan bahawa permohonan pra-perbicaraan itu mungkin difailkan di mahkamah Indonesia bagi mencabar prosedur berhubung penangkapan, penahanan atau penyitaan aset oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Dalam kes ini, Guntur berkata, pihak yang menuntut telah mencabar penyitaan kapal berkenaan oleh polis Indonesia bagi pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai tidak sah, serta rancangan seterusnya untuk menyerahkan kapal itu ke AS.
Menurut pemfailan mahkamah yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat pada 26 Mac, tindakan pihak yang menuntut berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk menghalang Equanimity daripada dirampas oleh pihak berkuasa AS.
Peguam mewakili pihak menuntut juga mempersoalkan sekiranya Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melaksanakan waran dengan betul untuk "menahan" kapal itu pada 28 Feb.
Kapal layar mewah bernilai AS$ 250 juta yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho itu adalah antara beberapa aset yang dikehendaki DoJ kerana didakwa diperoleh menggunakan dana yang dikatakan telah disalahgunakan dari 1MDB di Malaysia.
Jho Low menafikan terbabit dalam salah laku manakala 1MDB menegaskan bahawa dananya tidak diselewengkan.
Jho Low turut mendakwa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik dan penyitaan itu memperlihatkan "pola tindak balas global" DOJ.

