Johari, BN cabuli hak orang Kampung Baru
ULASAN I Anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Barisan Nasional memperalatkan pemilik tanah Kampong Baru dengan mengguna pakai akta yang tidak adil dan berat sebelah untuk mengawal tanah milik mereka.
Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Baru yang diluluskan pada tahun 2011 harus dikaji semula berikutan para pemilik tanah tidak mempunyai kuasa dan tidak dapat mengawal pembangunan di tanah mereka.
Ketika akta ini dibentangkan di Dewan Rakyat menyaksikan ahli-ahli parlimen pembangkang ketika itu bersungguh-sungguh mempertahankan hak pemilik tanah. Namun akta ini akhirnya diluluskan dengan 72 menyokong dan 28 menentang.

Akta ini antara lain memperuntukkan kuasa penuh ke atas Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) untuk mengawal selia semua projek pembangunan dan pentadbiran di atas tanah Kampung Baru.
Para pemilik juga seolah-olah dipaksa untuk menerima semua cadangan kerajaan tanpa timbal balas yang sepatutnya.
Mereka juga tidak mempunyai kuasa langsung untuk menentukan hala tuju ke atas hak mereka kerana akta ni memberikan kuasa penuh kepada menteri Wilayah Persekutuan untuk memilih dan melantik para wakil berserta ahli-ahli lembaga pengarah untuk menganggotai PKB.
Pemilik juga terikat dengan akta ini dan mereka tidak dapat melakukan sebarang bentuk pembangunan ke atas tanah milik mereka berikutan segala bentuk pembangunan hanya boleh diputuskan oleh pihak PKB.

Lebih parah lagi melalui akta ini pihak perbadanan mempunyai kuasa untuk merampas mana-mana tanah yang dikehendaki dengan hanya membayar ganti rugi setimpal yang nilainya ditentukan oleh pihak lembaga PKB.
Menteri secara keseluruhan mempunyai kuasa penuh terhadap PKB dan perkara ini ibarat pencabulan hak ke atas pemilik tanah kerana kerajaan Barisan Nasional dapat menguasai tanah penduduk.
Menteri boleh mempengaruhi sebarang keputusan lembaga termasuk dalam pemilihan syarikat kontraktor yang akan melakukan pembangunan di Kampong Bharu.
Wakil ahli Umno
Saya juga percaya para wakil yang dilantik menganggotai PKB terdiri dari kalangan ahli Umno dan bukannya mereka yang benar-benar mewakili penduduk.
Datuk Azizul Rahman Mohd Hussain Malim misalnya, beliau adalah Setiausaha Umno Bahagian Titiwangsa dan beliau turut dilantik sebagai anggota lembaga pengarah PKB.

Mengapa kuasa melantik anggota lembaga dan mereka yang berkepentingan di dalam PKB terletak di tangan menteri dan bukannya suara sebenar para pemilik tanah.
Mengapa tidak para pemilik dikumpulkan dan biar mereka yang menentukan para wakil kerana kuasa PKB jika disalah guna mampu menjahanamkan hak warisan tanah orang Melayu di Kampung Baru.
Peruntukan di bawah akta ini untuk melantik seorang wakil berposisi timbalan pengerusi bagi mewakili suara penduduk hanyalah satu gimik politik. Hakikatnya menteri berkuasa melantik mereka dari kalangan kroni untuk mengisi jawatan tersebut.
Bersekongkol dengan PKB
Johari sebagai ahli parlimen juga dilihat bersekongkol dengan PKB dan tidak mampu membawa suara sebenar pemilik tanah.
Beliau juga gagal memperjuangkan akta ini untuk digubal semula supaya para pemilik mendapatkan kuasa dan hak yang sepatutnya.
Oleh kerana suara para pemilik diketepikan, pembangunan yang dirancang oleh pihak PKB juga mungkin tidak akan membawa kebaikan kepada para pemilik.
Justeru jika Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya, saya akan mencadangkan akta ini untuk dikaji semula. Dan kuasa sebenar perlu dipulangkan kepada yang berhak.
Sebagai anak jati Kampung Baru yang turut memiliki sebidang tanah warisan keluarga di Kampung Baru, saya tidak akan berhenti memperjuangkan hak mereka.
Saya menyeru seluruh penduduk Kampung Baru dan Titiwangsa untuk menolak calon dari Barisan Nasional pada pilihan raya yang akan datang.
Undilah Pakatan Harapan. Sekian.
SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah penolong setiausaha Pemuda PKR yang juga anak jati Kampung Baru serta kawasan parlimen Titiwangsa.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

