Hari ini genap sembilan tahun pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
Dalam ulang tahun lima tahun lalu, Najib membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum ke-13 berlangsung.
Seluruh negara kini menantikan pengumuman sama yang digelar ibu segala pilihan raya yang akan menyaksikan asakan pembangkang bersama bekas mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jika asakan itu membuahkan hasil, Najib mungkin tidak sempat meraikan ulang tahun ke-10 beliau sebagai perdana menteri tahun depan.
Mahathir juga mahu menumbangkan Umno, parti yang pernah dipimpinnya selama lebih dua dekad.
Najib hampir sedekad lalu menjadi pemimpin nombor satu negara di tengah-tengah skandal warganegara Mongolia yang dibunuh dengan kejam di dalam hutan dekat Puncak Alam di Shah Alam.
Najib menafikan mengenali Altantuya Shaariibuu dan polis telah membersihkan namanya.
Bagaimanapun masih terdapat persoalan yang belum terungkai – apa motif pembunuhan itu?
Mahkamah tidak menyatakan motif itu walaupun dua bekas anggota pasukan unit tindakan khas polis disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman mati.
Pada 2009, Najib sebagai pengerusi Umno Perak ketika itu juga menggerakkan pengambilalihan kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat dengan memancing anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selepas mengangkat sumpah, anak perdana menteri kedua itu Tun Abdul Razak Hussein itu mempamerkan dirinya sebagai seorang pemimpin sederhana, liberal dan terangkum untuk semua.
Sehari selepas itu, Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali kembali menyertai Umno, setelah berundur sebagai tanda protes kepada Abdullah.
Tapi 'bulan madu' itu tidak lama.
Mahathir dan ISA
Slogan 1Malaysia Najib tidak begitu serasi dengan pendirian kumpulan sayap kanan dalam Umno.
Mahathir pernah berkata kumpulan garis keras Melayu seperti PERKASA menjadi popular kerana bangsa itu merasakan Umno tidak boleh lagi melindungi hak mereka.
Mahathir juga berang apabila Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), walaupun langkah itu mendapat pujian kumpulan hak asasi di seluruh dunia.
Semasa kontroversi sekitar penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu, Mahathir mencadangkan ISA dikembalikan untuk menangani kumpulan yang digelarnya pelampau minoriti.
Bagaimanapun semua langkah itu gagal memancing orang Cina untuk menyokong Najib dalam pilihan raya umum ke-13.
Pada masa yang sama, pemerhati juga melihat kumpulan sayap kanan dalam Umno juga mula memberontak.
Najib harus berbuat sesuatu. Kemudian slogan 1Malaysia jarang-jarang kita dengar lagi.
Sementara itu, isteri Najib, Rosmah Mansor, yang dikatakan mempunyai minat terhadap beg tangan berjenama, pula membuatkan Najib terus menjadi bualan, yang lebih kepada umpatan berbanding pujian.
Kemudian pada 2015, surat khabar di New York, Amerika Syarikat dan editor di London memulakan serangan “bom” 1MDB.
Tiga tahun kemudian, Najib terus bergelut dalam perang ini – yang melibatkan siasatan di pelbagai negara.
Mengikut ramalan Ahli Nujum Negara, Najib akan terus menang dalam pilihan raya umum tidak lama lagi.
Tapi malangnya sang nujum tidak ada. Dia hanya wujud dalam filem Nujum Pak Belalang.