Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ali Rustam, Bukit Katil dan pengundi 'tidak bersyukur'
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

PRU14 l Dua hari selepas pilihan raya umum ke-13 yang menyaksikan BN mencatatkan prestasi paling teruk dalam sejarah, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyiarkan muka depan dengan tajuk kontroversial "Apa Lagi Cina Mahu?".

Artikel itu diakhiri dengan petikan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam yang menuduh masyarakat Cina sebagai "sangat rasis" kerana didakwa mengundi mengikut garis perkauman dan bukannya merit.

Mohd Ali, yang adalah ketua menteri Malaka selama hampir 14 tahun, melepaskan jawatannya itu dengan cita-cita untuk menganggotai kabinet persekutuan.

Tetapi langkahnya untuk berpindah dari peringkat negeri ke persekutuan tidak kesampaian apabila beliau tumbang secara mengejut di kerusi parlimen Bukit Katil - yang juga adalah kampung halamannya.

“Saya kurang senang dengan keputusan orang Cina yang pilih calon tidak berasaskan meritokrasi, mereka kata orang Melayu rasis tetapi sebaliknya kali ini mereka sangat rasis.

''Mereka (orang Cina) langsung tak kenang budi, tidak ambil kira jasa yang saya buat dulu ketika mereka datang jumpa saya hingga lewat malam minta tolong, bila saya bantu, ini yang saya terima sebagai balasan," katanya pada satu wawancara berasingan dengan Utusan.

Walaupun sebahagian besar penduduk di negara ini, khususnya masyarakat Cina agak tersinggung dengan kenyataan Mohd Ali, namun bagi majoriti penduduk keturunan Cina di Bukit Katil mereka tidak menaruh dendam terhadap bekas ketua menteri itu.

Tinjauan Malaysiakini ke atas sebilangan pengundi berbangsa Cina di Bukit Katil mendapati masih ramai yang memuji Mohd Ali sebagai seorang ahli politik yang berusaha gigih dan sangat rajin. Tetapi mereka tidak menyokongnya kerana partinya dan skandal yang menimpa kerajaan persekutuan.

Atas sebab yang sama, pengundi berkata mereka faham mengapa Mohd Ali menjadi berang apabila tewas di kerusi Parlimen pada tahun 2013.

"Walaupun Ali Rustam kalah, dia masih menjalankan tugasnya. Saya lihatnya berada di sini setiap masa.

"Semasa perayaan orang Cina, apabila terdapat acara yang dianjurkan oleh tokong, dia akan melawat," kata Simon Tan, 57 tahun.

Baik upacara tokong, majlis perkahwinan, lawatan ke hospital, pengkebumian, kenduri-kendara dan solat, Mohd Ali pasti akan meluangkan masa jika dijemput.

Bagi Tan, beliau menyokong Mohd Ali, yang menurutnya, usaha dan kegigihannya melebihi apa yang diperkatakannya itu dahulu.

Sebahagian besar pengundi yang ditemui oleh Malaysiakini melahirkan sentimen yang sama seperti Tan dari segi etika kerja Mohd Ali tetapi keberatan menyokong calon BN itu atas alasan imej kerajaan pusat yang didakwa tercalar dengan pelbagai isu dan skandal.

Seorang kakitangan awam, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana bimbang tindakan akan diambil ke atasnya, berkata, kemarahan Mohd Ali ke atas masyarakat Cina memang dijangkakan.

"Sudah tentu dia marah, dia banyak menghabiskan masa dan usaha membantu orang Cina. Dia juga begitu baik kepada masyarakat Cina, mendengar masalah kami dan menghadiri majlis kami," katanya.

Walau bagaimanapun, lelaki yang berumur 50-an itu berkata beliau juga tidak akan mengundi Mohd Ali jika bekas ketua menteri itu bertanding sekali lagi. Alasannya, bimbang tentang rasuah dalam kerajaan, yang menjadi berita antarabangsa.

"Kita mahu tukar seluruh kerajaan. Jika kali ini, (kerajaan) tidak berubah, maka tidak akan ada lagi peluang.

"Saya fikir saya mahu kerajaan berubah, jadi saya tidak akan mengundi Mohd Ali, walaupun dia seorang calon yang baik," katanya.

Satu lagi pengundi tempatan, juga berusia 50-an, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, berkata bukan salah Mohd Ali bahawa masyarakat Cina tidak mahu mengundinya.

"Ini masalah negara. Tidak kira sebaik mana kamu (sebagai calon), jika kepimpinan (pusat) tidak baik, kami tidak mempunyai pilihan tetapi tidak menyokongnya," katanya.

Terdapat juga pengundi lain tidak puas hati kerana Mohd Ali menimbulkan isu perkauman untuk meluahkan kekecewaannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS