Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menyatakan kesediaannya untuk berdebat berhubung isu terowong dasar laut dengan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau hanya akan  berdebat sekiranya Wee menamakan pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang yang menerima RM10 juta seperti yang didakwanya sebelum ini.

"Saya bersedia untuk undur ke belakang bagi memberi laluan kepada Wee lakukan lebih banyak lagi sesi mempromosikan dirinya dengan bersetuju berdebat dengan Wee.

"Tetapi (dengan syarat) jika Wee dapat menamakan siapakah pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang yang menerima wang rasuah sebanyak RM10 juta.

"Walaupun Wee lakukan pembohongan yang mengatakan terdapat rasuah dalam projek itu, sehingga hari ini Wee tidak berani untuk menamakan siapa pemimpin kerajaan negeri yang telah menerima RM10 juta itu," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Sebelum ini, Wee berulang kali menggesa Lim untuk berdebat dengannya namun ia tidak diendahkan oleh setiausaha agung DAP berkenaan kerana menganggap Wee tidak setaraf dari segi jawatan.

Lim menolak jemputan awal Wee untuk berdebat dan berkata dia lebih suka berdepan dengan Presiden MCA, Liow Tiong Lai kerana Wee hanyalah pemimpin "nombor dua".

Bagaimanapun, Wee menganggap Lim sengaja mencari alasan untuk tidak berdebat isu terowong berkenaan dengan memintanya bertanding di Parlimen Bagan - kawasan pilihan raya diwakili pemimpin DAP itu. ​

Wee​ sebelum ini​ membangkitkan isu terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dikatakan akan memberi impak kewangan kepada rakyat Pulau Pinang sebanyak RM20.5 bilion.

Katanya, projek tersebut melibatkan kos sebenar RM6.34 bilion, kutipan tol sebanyak RM3 bilion, RM9 bilion untuk projek berkaitan bagi menyokong Syarikat Tujuan Khas (SPV) dan kerugian nilai sebanyak RM2.2 bilion.

[Baca berita penuh]