Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Risda tunggu kementerian lulus penanaman ketum secara komersial

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) hanya memerlukan tempoh satu atau dua bulan sahaja dari sekarang bagi mendapatkan kelulusan penanaman ketum secara komersial.

Pengarahnya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ini kerana pihaknya kini sedang menunggu keputusan permohonan perbincangannya dengan pihak berkaitan Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan untuk meluluskan eksport daun ketum ke luar negara bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan.

"Pusat Racun Negara setakat ini menyokong kita dan sekarang kita telah hantar permohonan kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan kelulusan mereka.

"Setakat ini kita nak dapatkan R&D dulu untuk semua syarikat komersial yang menghantar permohonan kepada kita, yang ingin kerjasama sama dengan kita dalam tempoh sebulan, dua ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zahidi pada 29 Mac lalu mengadakan sesi taklimat khas di ibu negara yang memfokuskan pada hasil kajian berkenaan manfaat daun ketum.

Pada sesi taklimat tersebut Zahidi berkata persepsi masyarakat tentang keburukan daun ketum perlu dihentikan kerana hakikatnya, tanaman itu mempunyai potensi besar untuk diketengah dan dikembangkan.

Menurut Zahidi, negara juga perlu menggunakan sumber tanaman ketum yang terdapat di sini dan memanfaatkan kelebihannya, sekali gus menjadi pemain utama dalam industri penanaman dan pemprosesan daun ketum.

Jelas Zahidi, antara kebaikan ketum dalam industri perubatan ialah ia dapat dijadikan sebagai ubat penenang dan ubat tahan sakit.

Zahidi turut menekankan bahawa ketum boleh menjadi sumber pendapatan penduduk kawasan luar bandar, malah mampu menyumbang ratusan juta kepada pendapatan negara, memandangkan ia punya permintaan yang sangat tinggi dari negara luar.

Lihat Komen
ADS