Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bincang isu ketua bahagian positif dadah bersama PM

Satu mesyuarat bersama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan diadakan bagi membincangan kes seorang ketua bahagian parti itu yang ditahan polis dan didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

Mengulas kejadian itu, hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beranggapan apa yang terjadi sebagai sesuatu yang malang.

Menurut beliau, perkara itu akan menjejaskan persiapan parti di bahagian berkenaan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Suatu yang amat malang dan kita tahu bahawa dari segi perundangan dan kekuasaan kita tidak boleh menghukum mana-mana individu sebelum keputusan mahkamah.

"Tetapi dari segi moral dan politik, ia agak mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kuala Krai, hari ini.

Malaysiakini tidak menyiarkan namanya sementara cuba mendapatkan ulasan ketua bahagian itu. Beliau sebaliknya memberitahu wartawan kami untuk menghadiri sidang akhbarnya yang dijadualkan esok.

Malaysiakini semalam melaporkan, pihak polis mengesahkan seorang ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin itu bersama sekumpulan rakannya turut ditahan atas kesalahan yang sama.

Sementara itu, Zahid yang juga naib presiden Umno yang menjalankan kerja-kerja timbalan presiden berkata, parti berkenaan akan mengambil tindakan terhadap pemimpin tersebut mengikut peruntukan sedia ada dalam perlembagaan Umno.

"Kita akan bawa kepada perbincangan dan mesyuarat bersama perdana menteri dan (mengambil) tindakan yang sedia ada dalamm perlembagaan Umno," katanya yang juga menteri dalam negeri.

Ditanya mengenai kesan daripada isu tersebut, katanya keadaan itu pasti memberi kesan walaupun kerusi kawasan itu diperuntukan kepada MCA.

"Pasti beri kesan tapi kerana ia kerusi yang diperuntukkan MCA ia sedikit menjejaskan.

"Namun kita akan usahakan keterpalitan ini tidak akan jejas kepercayaan kepada Umno bahagian itu," katanya.

Lihat Komen
ADS