Nazri salahkan Rafidah punca Cina mula benci BN
Pertikaman lidah di antara Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Tan Sri Rafidah Aziz bertambah panas hari ini apabila skandal pemberian permit import (AP) kenderaan dikaitkan dengan bekas menteri perdagagangan antarabangsa dan industri itu.
Mengulas bidasan Rafidah bahawa beliau “tidak berpandangan ke depan” menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata bekas ketua Wanita Umno itu bukan sahaja “berpandangan pendek”, tetapi juga “rasis”.
Ini katanya, apabila Rafidah memberitahu perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2005 bahawa pengagihan AP kepada syarikat bumiputera berjaya membantu memecahkan monopoli masyarakat Cina mengenai pengimportan kereta asing.
"Inilah apa yang saya panggil tidak berpandangan ke depan.
“Bagaimana dia boleh melakukan ini. Ia mencetuskan perkauman.
"Mengambil daripada syarikat Cina yang diberikan AP sebelum ini, dan (kemudian) memberikannya kepada syarikat bumiputera. Apa yang dia cuba beritahu kita?
"Inilah permulaan mengapa Cina di Malaysia mula membenci BN ... Apa salah jika perniagaan orang Cina itu bagus?" kata Nazri berkata pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Rafidah sebelum ini melabel Nazi sebagai “myopic” atau tidak berpandangan ke depan selepas menteri itu menyelar bidasannya terhadap National Feedlot Corporation (NFC) dan pinjaman bernilai RM248 juta yang ditanggung oleh kerajaan.
Nazri mendakwa Rafidah masih berang kerana kehilangan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Mengulas perkara itu, hari ini, Nazri berkata Rafidah, yang dikenali sebagai wanita besi, terkenal sebagai pejuang hak wanita.
"Rafidah bagi saya adalah pejuang hak wanita, tetapi dia tidak perjuangkan Shahrizat sama sekali.
"Shahrizat tidak berbuat salah, tetapi terpaksa menanggung akibatnya hanya kerana dia adalah isteri (Pengerusi Eksekutif NFC) Datuk Seri Mohd Salleh Ismail," katanya.
Beliau berkata antara lain, Shahrizat hilang jawatannya dalam kabinet dan kedudukannya sebagai senator hanya kerana suaminya "didakwa" di mahkamah.
"Mengapa isteri yang harus dipersalahkan ... Setiap wanita harus tampil dan mempertahankan Shahrizat," katanya.

