Zaleha dah buat apa yang ahli politik gagal
Isu Zaleha Kadir Olpin yang disingkirkan daripada program masakan Inggeris Masterchef UK membuktikan bagaimana masakan menyatupadukan rakyat Malaysia.
“Kita biasa mendengar bahawa sukan dan makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia. Ternyata kata-kata ini terbukti minggu ini.
“Puan Zaleha Kadir Olpin dan rendang ayamnya secara tidak langsung telah menjadi penyatu rakyat Malaysia, tidak kira daripada Kerajaan atau Pembangkang,” kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Pada 25 Mac lalu, dua juri MasterChef UK, John Torode dan Gregg Wallace tidak berpuas hati dengan hidangan nasi lemak Zaleha.
Wallace berkata kulit ayam yang dimasak Zaleha tidak rangup selain kuah berlebihan pada rendang menjadikannya sukar dimakan.
Torode pula berkata, meletakkan ayam rendang di sisi nasi lemak adalah satu kesilapan besar.
Kedua-dua juri menyingkirkan Zaleha.
Zaleha, anak Pahang yang menetap di UK itu, mengaku kecewa dengan keputusan itu tetapi mempertahankan cara tradisi memasaknya.

Pelbagai pihak mengkritik keputusan juri yang dilihat jahil tentang masakan Malaysia, termasuk chef selebriti terkenal, Chef Wan (atas) dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia HE Vicki Treadell.
Menulis di Facebook, Anifah berkata apa yang berlaku tidak dijangka-dijangka jika melihat panasnya suasana musim pilihan raya sekarang.
“Dalam suasana panas menuju pilihan raya, kita mudah terlupa tentang titik persamaan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.
“Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa. Namun adakalanya, sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati dalam sesuatu perkara,” katanya.

Mengucapkan syabas kepada Zaleha, Anifah berharap dapat bertemu wanita itu suatu hari ini.
“Kamu berjaya buat apa yang ahli politik gagal, contohnya menyatukan rakyat Malaysia ketika saat mereka paling berpecah-belah,” katanya.
Mengenai komen juri pula, Anifah berkata beliau geli hati apabila orang asing cuba untuk mengajar rakyat Malaysia tentang makanan tradisional mereka sendiri.
Malah, beliau tertanya-tanya sama ada apa yang berlaku satu bentuk whitesplaining (pandangan dari kaca mata orang kulit putih) yang biasa dibaca di media sosial.

