Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika tawan Kelantan BN tetap haramkan judi, hapus pil kuda'

BN menegaskan tidak sekali-kali menghalalkan aktiviti judi di Kelantan sekiranya berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri beliau akan pastikan masalah perjudian dihapuskan 100 peratus.

"Saya harus menjawab apa yang dikatakan bahawa kononnya apabila kita mengambil alih kerajaan negeri Kelantan kita akan menghalalkan judi.

"Judi (ini) sebagai Menteri Dalam Negeri, saya arahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan supaya mesti hapuskan judi di Kelantan 100 peratus kalau BN menang.

"Dengan ini Menteri Dalam Negeri mengarahkan hapuskan judi 100 peratus di Kelantan.

Ertinya ini komitmen saya, ini adalah janji saya yang ditepati. Tidak ada kompromi dalam soal akidah dan soal ibadah. Mungkin kita kurang berilmu berbanding orang lain tapi kita bukan jahil dalam bab hukum," katanya ketika berucap di program Temu Mato Rakyat Machang di Machang, Kelantan, hari ini.

Hadir sama Ketua Badan Perhububungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tohmahan musuh politik yang beranggapan aktiviti perjudian akan dihalalkan sekiranya BN kembali memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Zahid berkata, pihaknya melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Operasi Dadu dalam usaha membanteras perjudian di seluruh negara.

Banteras pil kuda

"Sebab itu dalam Operasi Dadu oleh PDRM bukan hanya arahan khas kepada Bukit Aman malah di semua kontinjen dan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) jika ada di kalangan pegawai dan anggota yang bersengkongkol dengan tauke judi saya tidak akan berkompromi.

"Saya pasti tindakan akan dilakukan dengan segara.

"Bagaimana kita dituduh kalau kita menang kita akan menghalalkan judi?

"Tok Pa (Mustapa) sila kerjasama dengan PDRM dalam perkara ini," katanya.

Sementara itu, Zahid turut mengarahkan Ketua Polis Kelantan supaya membanteras aktiviti pengedaran pil kuda yang berleluasa di Kelantan.

"Ini kerana negeri Kelantan menjadi tempat pengedaran pil kuda terbesar.

"Saya tak mahu ada pengedaran kes pil kuda 100 peratus, ini komitmen kerajaan BN bukan ada dalam manifesto, bukan akujanji," katanya yang juga anggota parlimen Bagan Datuk.

Lihat Komen
ADS