Walaupun abang boleh menerima keputusan Jawatankuasa Peringkat Menteri tentang hasrat bapa mereka berhubung rumahnya namun, adik beradik lain mempunyai pandangan berbeza mengenainya.

“Bercakap sebagai anak lelaki, saya menerima rumusan jawatankuasa itu berkaitan hasrat bapa saya tentang rumah di 38 Oxley Road serta beberapa opsyen yang dikemukakannya,” kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam respons melalui laman Facebook beliau pada hari Isnin.

Kelmarin, jawatankuasa itu mengeluarkan laporan penuh dengan menyatakan tiga opsyen berkaitan rumah peninggalan pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, iaitu "daripada melakukan pemuliharaan hinggalah kepada meruntuh dan membangunkannya semula."

Lee berkata: "Seperti yang dinyatakan oleh jawatankuasa itu, keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.

“Adik perempuan saya masih tinggal di situ dan mungkin terus berbuat demikian pada masa akan datang.

“Saya berharap, apabila tiba masanya untuk membuat keputusan tentang apa yang patut dilakukan terhadap rumah berkenaan, laporan ini akan membantu kerajaan yang memerintah bagi membuat keputusan sewajarnya dengan menghormati hasrat bapa saya dan demi kepentingan awam," kata perdana menteri Singapura itu dalam catatan di laman Facebook beliau.

Sementara itu, dalam respons kepada laporan tersebut melalui kenyataan dua muka suratnya, Lee Hsien Yang berkata kenyataan jawatankuasa berkenaan "tidak mewakili secara tepat hasrat Lee Kuan Yew".

Beliau menyiarkan kenyataan itu di laman Facebook beliau sesmalam.

Dalam catatan Facebook berasingan, adiknya, Dr Lee Wei Ling pula menulis, "kurangnya kebijaksanaan atau sikap suka menafikan" yang akan membuat seseorang itu tidak memahami apa yang “amat dinginkan” oleh bapa dan ibu mereka.

- Bernama