Aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan dalam kes penggantungan kerana terlibat dalam perhimpunan "Tangkap Malaysian Official 1" dua tahun lalu.

Keputusan itu diambil setelah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membenarkan beliau menduduki peperiksaan akhir tiga bulan lagi.

Peguam beliau Surendra Ananth ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Asheeq di Facebook berkata keputusan itu susulan penyelesaian luar mahkamah antara beliau dengan institut pengajian tinggi itu.

“Walaupun ini bukan end goal (matlamat akhir) aku, tapi ia satu kemenangan buat diri aku.

“Kalau aku tunduk dengan kuasa mereka dua tahun yang lalu, melepaslah aku nak grad,” katanya.

“Ramai pertikai tindakan aku besarkan isu penggantungan aku tapi untuk aku, itu telah pun berjaya.

“Kalau aku melutut depan mereka setelah aku digantung, maka kepala aku akan terus mereka pijak, suara aku takkan pernah mereka nak dengar.

“Teman teman, ingat, jangan pernah sesekali pun anda berkompromi dengan penindasan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih keada pasukan peguamnya yang bertungkus lumus sejak dua tahun lalu, penaja dan rakan aktivis.

“Perjuangan kita masih panjang melawan rejim Umno-BN,” katanya.