Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dengar cakap Bank Negara, perkenal gaji cukup hidup'

Anggota parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan Bank Negara supaya gaji cukup hidup (living wage) dilaksanakan.

Menurut Charles, gesaan bank pusat itu menunjukkan kos sara berada pada tahap yang tidak memuaskan.

Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017 dan Laporan Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) menunjukkan rakyat Malaysia 'miskin', kata Charles.

"Sekarang, Bank Negara Malaysia satu institusi memperkenalkan gaji cukup hidup. Ini menunjukkan perkara ini sangat penting.

"Tidak pernah sebelum ini satu badan institusi yang penting menggesa tentang gaji cukup hidup.

"Bila kerajaan kata negara kita kaya, ya memang kaya tetapi rakyat miskin.

“Ini jelas, hasil daripada satu rumusan yang dikemukakan oleh laporan Unicef termasuk laporan Bank Negara," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Charles memberitahu lagi, berdasarkan laporan Bank Negara, pada 2016 sebanyak 81.5 peratus peluang pekerjaan diwujudkan di Malaysia namun ia diisi dengan pekerja asing.

Malah, jumlah peratusan pelajar yang bergraduasi tetapi masih menganggur juga naik daripada tiga peratus pada 2012 kepada 4.1 peratus pada 2016.

"Isu pokok yang dibangkitkan dalam laporan ini ialah, salah satu sebab utama kenapa gaji di Malaysia kurang kerana terlalu banyak pekerja asing," katanya lagi.

Sehubungan itu, Charles juga menggesa agar isu berkaitan kos sara hidup rakyat Malaysia menjadi agenda utama bagi BN serta Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum ke-14.

"Isu ini mesti menjadi isu nombor satu. Kedua-dua (parti) tahu tentang isu ini. Rakyat miskin, dan kini BNM juga mengakui rakyat Malaysia miskin.

"Kita mesti cari jalan keluar dan tentukan gaji minima serta laksana garis ukur gaji," ujarnya lagi.

Pada 29 Mac lalu, Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim memberitahu, sudah sampai masanya rakyat memperoleh gaji cukup hidup dalam usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Muhammad berkata, paras gaji bagi pasaran buruh mendapat kira-kira RM1,700 sebulan manakala bagi pemegang diploma hanya mendapat RM350 melebihi gaji minimum sebanyak RM1,200.

Namun, kata Muhammad pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) naik sebanyak 5.8 peratus setiap tahun dan perbelanjaan meningkat pada kadar yang cepat menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang yang sikit untuk berbelanja.

Muhammad sehubungan itu berkata, paras gaji di Kuala Lumpur pada 2016 dengan mengikut garis panduan negara maju sepatutnya dianggarkan sebanyak RM2,700 bagi golongan dewasa, RM4,500 untuk pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.

Lihat Komen
ADS