Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘GLC mana akan lantik CEO yang masuk IJN 47 kali’
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 2:19 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Keadaan 'fizikal' dan 'mental' Tun Dr Mahathir Mohamad yang dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan sekiranya gabungan pembangkang menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang terus menjadi polemik dan bidasan kerajaan.

Terbaru, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi berkata tindakan DAP dan PKR yang memilih Dr Mahathir sebagai pengerusi HARAPAN sebagai satu “muslihat politik”.

Katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang masing-masing sedia maklum mengenai keadaan 'fizikal' dan 'mental' Dr Mahathir yang tidak mengizinkan beliau memikul jawatan penting sekali pun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Mana-mana syarikat GLC tidak akan melantik seorang CEO yang diketahui sudah masuk Institut Jantung Negara (IJN) sebanyak 47 kali dalam tempoh 39 bulan.

"Jika mereka terus lantik seorang yang ada masalah kesihatan, maka prestasi syarikat itu akan terjejas," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Syarikat akan bankrap

Puad berkata, syarikat juga akan bankrap jika dipimpin Dr Mahathir selepas beliau berulang kali terlupa apa yang diperkatakan atau dilakukannya terdahulu.

"Terbaru dalam sidang akhbarnya, Dr Mahathir kata akan hapuskan semua akta, termasuk Akta Hasutan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sedangkan semua akta itu wujud dan disalahgunakan olehnya selama 22 tahun menjadi perdana menteri.

"Bahkan ada kalanya dia menoleh ke belakang meminta ahli parlimen DAP membantunya untuk menjawab kerana agak keliru dan tidak ingat butiran," katanya.

Polemik keadaan 'fizikal' dan 'mental' Dr Mahathir timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, tiada negara di dunia akan memilih pemimpin berusia 93 tahun sebagai calon perdana menteri.

Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003, akan mencecah usia 93 tahun pada tahun ini.

Berikrar akan menjatuhkan Najib, Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri oleh HARAPAN sekiranya gabungan parti itu memenangi PRU14.

Menerusi video di Facebook, Mahathir berkata pada usia 93 tahun beliau masih mampu menunggang kuda, memandu kereta dan mengalahkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Soal umur saya masih disebut-sebut kononnya saya sudah 93 tahun dan tak mungkin boleh jadi PM.

"Tetapi 93 tahun boleh lagi buat macam-macam bukan saja naik kuda , bawa kereta, tapi untuk mengalahkan Najib, masih boleh," kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu.

Lihat Komen
ADS