Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat isu seorang ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur yang ditangkap dan didapati positif dadah.

“Jabatan siasatan jenayah narkotik akan lakukan siasatan,” kata timbalan perdana menteri ringkas sebelum berlalu meninggalkan media.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Umno bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang mendakwa disabotaj.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Rizalman, calon berpotensi BN untuk kawasan parlimen itu, hari ini mendakwa disabotaj dan diperangkap supaya positif dadah.

Beliau berkata hanya mahu berhibur di kelab malam itu dan hanya minum kopi dan minuman ringan, tanpa menyentuh minuman keras atau dadah.

Sementara itu, Ahmad Zahid hadir merasmikan majlis perasmian Minggu Halal Dunia 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata kerajaan berhasrat menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa pada masa hadapan.

Katanya, badan itu untuk mengumpulkan pihak berkuasa halal seluruh dunia bagi menyelaraskan prosedur berkaitan pensijilan.

“Selaku peneraju industri halal dunia, Malaysia melalui majlis halal mempunyai rancangan besar untuk dunia, salah satunya mewujudkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa.

“Kita juga dalam usaha untuk mewujudkan akademi kajian industri halal yang pertama seumpamanya di rantau ini,” katanya lagi.