Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Polis enggan mengulas mengenai dakwaan Ketua Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar bahawa serbuan di sebuah kelab malam, di Kuala Lumpur, pada awal pagi Isnin lalu dan ujian air kencing yang didapati positif dadah adalah satu “perangkap”.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Shaharuddin Abdullah dan sumber polis lebih tinggi ketika dihubungi enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan Rizalman.

Awal hari ini, Rizalman berkata bahawa beliau ke kelab berkenaan untuk berhibur dan hanya mengambil kopi dan minuman ringan.

“Saya dikatakan positif dadah, selepas buat ujian saringan.

“Saya hanya minum kopi dan rakan-rakan saya ambil minuman ringan, tidak ada dadah, tidak ada minuman keras.

“Jadi saya pun hairan saringan (air kencing) awal adalah positif, sebab itu saya syak bahawa saya diperangkap, oleh siapa saya tidak tahu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Rizalman juga mendakwa kejadian itu adalah cubaan untuk menjejaskan peluangnya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau dan sepuluh orang lagi ditahan di pusat hiburan berkenaan semasa serbuan polis pada 2 April lalu.

Shaharudin dilaporkan berkata bahawa ketua Umno bahagian itu dan yang lain semuanya positif untuk bahan larangan methamphetamine dan amphetamine.

Sementara itu, pada majlis berasingan di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu sedang disiasat oleh Jabatan Narkotik Polis.

Rizalman juga enggan membuat spekulasi mengenai siapa di sebalik “perangkap” yang didakwanya.

Beliau walau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh MCA.

MCA telah bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak lebih lima pilihan raya dan Rizalman pada tahun lalu menuntut kerusi itu diserahkan kepada Umno.

Pada sidang media hari ini, Rizalman diiringi oleh bapanya Mokhtar Samaad dan isteri Syazlina Bahardin serta kira-kira 50 penyokong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS