Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR jangan gopoh larang guna gambar Dr M, kata MP

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo membidas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melarang penggunaan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen Pakatan Harapan pada PRU akan datang.

Menyifatkan keputusan itu sebagai "pramatang", beliau mendakwa tiada undang-undang yang membolehkan tindakan SPR itu.

Beliau juga berkata SPR sepatutnya menunggu keputusan mahkamah berhubung pendaftaran HARAPAN terlebih dulu.

"Keputusan SPR ini juga boleh dicabar kerana kita tidak akan mengambilnya dengan mudah. Kami mungkin berjaya di Mahkamah Tinggi esok.

"Melainkan SPR sudah memutuskan permohonan kami akan gagal, mereka sepatutnya tunggu kerana keputusan itu boleh dicabar," katanya.

Pada 21 Februari lalu, HARAPAN memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), antaranya untuk mendesak jabatan itu memberi maklum balas terhadap permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai gabungan rasmi.

Saman difailkan Gobind bagi pihak pemimpin kanan empat parti komponen HARAPAN, iaitu Ketua Sekretariat HARAPAN Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Shaharuddin Md Salleh dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Gobind berkata umum tahu tentang tindakan undang-undang HARAPAN terhadap ROS itu.

"Permohonan itu sudah dibenarkan dan pendengaran akan dibuat esok (5 April). Kami berharap keputusan akan dibuat esok," katanya yang juga anggota parlimen Puchong.

"Mengapa SPR membuat keputusan tanpa mengambil kira hal mahkamah? Bagi saya, SPR patut menghormati proses mahkamah dan menunggu keputusannya," katanya.

Beliau berkata jika Mahkamah Tinggi memberikaan arahan kepada ROS untuk mendaftarkan HARAPAN, ia bermakna mereka boleh menggunakan gambar Mahathir ketika kempen nanti.

Spekulasi mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan membubarkan Parlimen pada Jumaat ini agar PRU dapat dilakukan sebelum bulan Ramadan bersamaan 15 Mei ini.

Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim sebelum ini berkata HARAPAN tidak boleh didaftarkan kerana parti komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) belum memberi semua maklumat dan dokumen yang diminta mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Pada 31 Mac lalu, BERSATU berkata pihaknya sudah memenuhi semua syarat yang ditetapkan ROS dan jabatan itu tiada sebab untuk tidak mendaftarkan HARAPAN.

Lihat Komen
ADS