Risiko akta antiberita palsu menurut bekas editor Utusan
Akta Antiberita Tidak Benar mengundang risiko kepada keselamatan negara dan wartawan penyiasatan, kata bekas pengarang kanan Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain.
Beliau menimbulkan persoalan sama ada kes melibatkan rahsia negara perlu didedahkan kepada mahkamah bagi membuktikan kepalsuan sesebuah laporan.
Sebagai contoh, katanya, berita berkaitan pembelian peralatan pertahanan.
“Perlu diingat, mahkamah akan mengarahkan pendakwa membuktikan itu palsu. Selepas terbukti palsu barulah boleh dihukum.
“Masalahnya hendak dibuktikan, faktanya di bawah OSA. Adakah keluarkan fakta itu dari OSA? Ini sangat bahaya kepada keselamatan negara,” kata yang berundur dari Utusan pada 27 Mac 2016 selepas dikaitkan dengan kelantangannya dalam isu 1MDB.
Sementara itu, menulis di Facebook hari ini, Ku Seman juga berkata akta baru itu akan memberi masalah kepada wartawan penyiasatan yang biasa merahsiakan sumber mereka.
“Tetapi bila didakwa bawah akta ini, sumber kena didedahkan untuk pastikan ketulenan faktanya.
“Saya fikir tidak ada siapa akan dedah apa apa kepada wartawan,” katanya.
Beliau justeru mempersoalkan sama ada penyokong akta itu terfikir berkaitan masalah yang dibangkitkannya itu.
“Puak-puak yang sokong fikir tak perkara ini? Sepatutnya otak di kepala manusia bukan di kepala lutut,” katanya.

