Rehda gesa tubuh agensi urus rumah mampu milik
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menggesa penubuhan sebuah agensi pusat bagi menyelia urusan berkaitan rumah mampu milik.
Presidennya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata agensi itu akan dapat menasihati pemaju dalam sektor awam dan swasta untuk membina produk yang sesuai dengan harga, lokasi dan masa yang sesuai, serta menyelia skim sewa milik kediaman (RTO).
“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Pemaju swasta kemungkinan memiliki duit yang banyak untuk membina rumah mampu milik, tetapi pemaju kecil-kecilan mungkin memerlukan insentif,” katanya pada taklimat media mengenai Kaji Selidik Industri Hartanah dalam Separuh Kedua 2017 dan Tinjauan Pasaran bagi 2018.
Beliau berkata pembiayaan akhir kekal menjadi cabaran utama dan persatuan itu berharap kerajaan akan mencari jalan untuk meringankan bebanan rakyat dari segi bantuan kewangan, kerana penolakan pinjaman tertinggi ialah permohonan pinjaman perumahan bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.
Pada masa sama, Fateh Iskandar (gambar) juga berharap kerajaan akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan pemaju yang menjejaskan aliran tunai mereka.

“Perlu ada pendekatan holistik, dan kami juga meminta kerajaan untuk mengurangkan atau mengetepikan caj pembangunan dan penukaran kos premium tanah, serta kos pembinaan dan pematuhan yang tidak perlu bagi pemaju, antara lainnya,” katanya.
Memandangkan penduduk Malaysia dijangka meningkat kepada 33 juta tahun ini, beliau berkata negara masih kekurangan tiga juta rumah mampu milik, berdasarkan kepada anggaran keperluan bagi 8.3 juta rumah dengan empat orang bagi setiap rumah, seperti yang dinyatakan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.
Beliau berkata kerajaan sedang membina kira-kira satu juta rumah mampu milik dan kira-kira empat juta sedang dibangunkan oleh pemaju swasta.
Sementara itu, Fateh Iskandar berkata Rehda dan pemegang kepentingan lain akan menjalankan kajian menyeluruh bagi menangani lebihan bekalan unit runcit dan pejabat dalam bangunan komersial.
“Kami telah menasihatkan ahli-ahli kami untuk sentiasa berhati-hati dan melakukan penyelidikan yang betul sebelum memutuskan projek komersial mereka yang seterusnya.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh memberi kata putus akhir dalam projek mereka,” katanya, yang merujuk kepada Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 Bank Negara Malaysia yang menyatakan sekiranya hartanah tidak dikawal, ia akan memberikan risiko kepada makroekonomi dan kestabilan kewangan.
Fateh Iskandar berkata Rehda juga memerlukan data raya bagi industri hartanah di negara ini kerana maklumat akan membantu menyelaraskan dengan lebih baik lagi permintaan dan penawaran.
-Bernama

