Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Izzah: Jawapan Zahid bukti k'jaan gagal kawal harga barang

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kenaikan harga barang bukan berpunca daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membuktikan kerajaan tidak peduli dengan beban rakyat, kata Nurul Izzah Anwar.

Anggota Parlimen Lembah Pantai itu berkata, timbalan perdana menteri juga menyalahkan orang tengah atau kartel, sekali gus menunjukkan kerajaan gagal mengawal harga barang selepas GST dilaksanakan.

"Janji BN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2014 bahawa harga barang akan dikawalselia dengan lebih baik dan kenaikan keterlaluan tidak akan berlaku selepas pelaksanaan GST hanyalah berita palsu belaka," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Isnin lalu Bernama melaporkan, Zahid memberitahu bahawa kenaikan harga barang bukan berpunca daripada GST sebaliknya tindakan orang tengah atau 'kartel' yang memanipulasi harga bagi mendapat keuntungan.

Menurut Zahid, tindakan itu menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup semakin meningkat.

“Memang benar ada kenaikan kos pengeluaran, kenaikan disebabkan pengimportan, kenaikan disebabkan berlakunya pertukaran wang asing kerana ketika itu wang kita agak rendah berbanding nilai mata wang AS, tetapi sekarang ini nilai mata wang kita meningkat.

"Tapi kenapa harga barangan tidak turun? Ertinya kartel mainkan peranan (sebagai) orang tengah mengambil margin banyak.," kata Zahid.

Sehubungan itu, Nurul Izzah berkata, Zahid perlu memohon maaf bagi pihak kerajaan kerana gagal mengambil tindakan terhadap pihak yang memanipulasi harga barang.

"Jika Datuk Seri Zahid tidak memohon maaf dengan kadar segera, saya yakin rakyat tidak akan teragak-agak untuk memberi pengajaran kepada kerajaan BN," ujar Nurul lagi.

Lihat Komen
ADS