Senator Tan Sri S Nallakaruppan yakin Tun Dr Mahathir Mohamad akan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menindas termasuklah ke atas pemimpin parti Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bekas tahanan ISA itu juga mengingatkan pemimpin parti komponen HARAPAN kemungkinan mereka akan diperdaya oleh pengerusi mereka sendiri.

“Saya pun tak faham macam mana pemimpin-pemimpin HARAPAN boleh melupakan segala perbuatan Dr Mahathir, sedangkan sebahagian daripada mereka telah menjadi mangsa termasuk ditahan di bawah ISA.

“Sekiranya beliau mendapat kuasa kelak, saya yakin 100 peratus Dr Mahathir akan mewujudkan semula ISA dan menindas pula parti-parti yang bersamanya hari ini,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.

Jelas Nallakaruppan lagi, pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu adalah individu yang tidak akan mengakui kesalahannya, malah meneruskan tindakan yang sama sekiranya diberi mandat dan kuasa semula.

"Dr Mahathir ibarat ular yang besar dan boleh mematuk mangsanya pada bila-bila masa apabila mempunyai kesempatan," katanya.

Nallakarupan merupakan bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi saksi kes liwat pemimpin PKR itu.

Dr Mahathir dalam sidang media semalam berkata, HARAPAN akan memansuhkan beberapa undang-undang yang disifatkan menindas rakyat termasuklah RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 yang diluluskan parlimen baru-baru ini.