Kerajaan membuat keputusan tidak akan mengisytiharkan 2 Nov sebagai cuti umum, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pengisytiharaan itu dibuat, ia akan menyebabkan peningkatan kos operasi bagi sektor swasta ekoran terpaksa membayar gaji yang berganda kepada kakitangan yang bekerja pada hari cuti umum tersebut.

"Kakitangan awam pula kalau hendak bercuti pada 2 November, boleh mengambil cuti (tahunan) masing-masing," katanya kepada pemberita sebelum menyaksikan Felda menyampaikan cek RM500,000 kepada mangsa gempa bumi Pakistan di pejabatnya di Parlimen.

Pengerusi Felda Tan Sri Dr Yusof Nor menyampaikan cek itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Mej Jen (B) Talat Munir.

Menurut laporan Bernama , Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang tidak bersetuju sekiranya 2 November diisytiharkan cuti umum.

Bantahan Thailand

Perayaan Deepavali jatuh pada 1 November manakala Hari Raya Puasa berkemungkinan besar jatuh pada 3 November. Keadaan ini menyebabkan pelbagai pihak yang mencadangkan supaya 2 November diisytiharkan cuti umum.

Manakala Kementerian Pelajaran pula membenarkan sekolah bercuti mulai 30 Oktober dan cuti seminggu sepanjang dua perayaan tersebut, telah diganti pada hari Sabtu.

Menjawab soalan lain, Timbalan Perdana Menteri mengulangi kenyataannya bahawa dasar negara tidak mencampuri urusan dalaman negara luar.

Sekiranya ada aduan kononnya seorang menteri kabinet Malaysia mencampuri urusan dalaman Thailand, kerajaan akan menimbangkan perkara itu, katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar Thailand kononnya Thailand membuat aduan rasmi kepada Malaysia terhadap tindakan menteri kabinet itu.

Mengenai tawaran Boeing untuk menjual jet pejuang Super Hornet F-18 yang telah ditingkatkan keupayaannya, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata tiada keputusan lagi mengenai perkara itu.