Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai Risda direman 5 hari bantu kes salah guna kuasa
Diterbitkan:  Apr 5, 2018 6:00 AM
Dikemaskini: Apr 5, 2018 10:42 AM

Seorang Penolong Pegawai Pertanian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kuala Pilah direman lima hari, bermula hari ini, bagi membantu siasatan salah guna kuasa dalam projek penanaman semula getah.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Seremban, Nurhayatie Mohd Saini selepas menerima permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Riduan Kadri.

Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai telah mencadangkan isterinya untuk menjalankan kerja penanaman semula pokok getah di bawah Skim Bantuan Tanam Semula RISDA di tiga lot tanah di Ulu Muar, Kuala Pilah, dekat sini, membabitkan kos bernilai RM18,999.56.

Lelaki terbabit ditahan pegawai SPRM Negeri Sembilan pada jam 5.25 petang semalam selepas memberikan keterangan di pejabat SPRM negeri di Seremban dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS